Harian Metro

Hafizh idam lakar sejarah di Buriram

- Sukhairi Thani sukhairi@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Sirkit Antarabang­sa Buriram di Thailand akan menjadi litar berkecuali buat pelumba MotoGP apabila hampir keseluruha­nnya masih belum pernah menjejakka­n kaki ke litar itu dan ujian rasmi dari 16 hingga 18 Februari ini akan menjadi yang pertama buat mereka.

Ia termasuk buat pelumba negara, Hafizh Syahrin Abdullah yang akan membuat kemunculan sulungnya dalam kelas perdana itu bersama pasukan Monster Yamaha Tech3.

Namun dengan kekurangan data di litar yang akan menjadi tuan rumah bagi pusingan ke-15 pada 7 Oktober depan, semua pasukan tentunya perlu bermula dengan ‘kosong’ dan kelebihan itu akan diambil sepenuhnya oleh Hafizh.

“Bagi saya, litar Buriram tak berapa susah untuk pelumba MotoGP,” kata pelumba berusia 24 tahun itu.

“Saya juga tak tahu lagi kerana tidak pernah sampai ke sana dan hampir semua pasukan tak ada yang pernah ke sana.

“Jadi, tiada sebarang data lagi yang dapat dikumpulka­n (oleh pasukan). Oleh itu, bagi saya ini satu kelebihan untuk saya belajar dengan cepat dan cuba mendekatka­n jarak dengan pelumba profesiona­l.

“Cuaca juga lebih kurang sama dengan Malaysia, jadi saya boleh anggap ini sebagai satu kelebihan untuk melakukan yang terbaik.

Tahun lalu, pelumba Movistar Yamaha MotoGP, Valentino Rossi pernah meluahkan rasa kurang gembira mengenai litar yang direka cipta Hermann Tilke yang mula dibuka pada 2014.

Rossi atau dikenali sebagai ‘The Doctor’ menggambar­kan litar Buriram sebagai tidak menarik, bosan dan tidak mempunyai banyak selekoh ketika berada di sana pada 2015.

Pelumba berusia 39 tahun ketika itu berkata: “Saya tidak begitu gembira untuk ke Thailand, terutamany­a di litar itu. Apa pun, sekiranya kami harus pergi, maka kami akan pergi juga.”

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia