Harian Metro

TINDAKAN BIJAK

- Devinder Singh devinder@nstp.com.my

Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengharapk­an lebih ramai lagi pemain tempatan mengikut jejak langkah Kiko Insa yang membuat keputusan beraksi di luar negara.

Pemain naturalisa­si berusia 30 tahun itu meninggalk­an Pahang selepas semusim untuk menyertai kelab Thailand, Bangkok Glass dan menerusi laman Instagramn­ya, dia menyatakan ‘menanti cabaran baru pada 2018. Tiba masa untuk berubah.’

Insa akan menjadi salah seorang daripada empat pemain Malaysia yang beraksi di luar negara musim ini selepas bekas pemain remaja MIFA, M Kavishkuma­r sah menyertai pasukan divisyen lima Jepun, Tokai FC.

Dua lagi pemain adalah pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Dominic Tan serta pemain tengah Syamer Kutty Abba yang beraksi bersama pasukan divisyen tiga Portugal, Vilaverden­se FC secara pinjaman untuk jangka masa panjang.

Justeru, Cheng Hoe memberi sokongan kepada mana-mana pemain yang mahu meluaskan lagi pengalaman mereka sambil mengharapk­an lebih ramai pemain senior mengikut jejak langkah Insa yang memiliki enam penampilan bersama skuad kebangsaan ketika di bawah kendalian Nelo Vingada, tahun lalu.

“Ini inisiatif yang baik daripada Kiko dan kami akan terus memantau perkembang­annya. Saya akan timbangkan sebagai pilihan dan kami akan turut berkunjung ke Bangkok untuk menyaksika­n persembaha­nnya walaupun liga Thailand baru saja akan bermula.

“Sudah pasti ia memberi manfaat sekiranya lebih ramai pemain beraksi di luar dan berdepan dengan pelbagai corak permainan di peringkat berbeza. Mereka dapat berkongsi pengalaman selepas kembali ke sini,” kata Cheng Hoe.

Sebelum ini, beberapa pemain tempatan pernah beraksi di luar negara antaranya Safee Sali, Nazmi Faiz Mansor dan Wan Zack Haikal Wan Noor.

 Pengendali skuad negara pantau aksi pemain tempatan ke luar negara

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia