‘Kami tak bernasib baik’ - Durakovic
Ipoh: Pengendali Perak, Mehmet Durakovic menganggap pasukannya tidak bernasib baik selepas tewas 0-2 di tangan PKNS FC di Stadium Lumut, kelmarin.
“Segala-galanya serba tidak kena buat kami. Gol lawan di minit awal perlawanan, satu percubaan terkena palang serta rentetan peluang yang diselamatkan penjaga gol mereka, cukup untuk menceritakan nasib kami pada perlawanan ini.
“Sebaliknya PKNS lebih bernasib kerana bola yang terkena palang singgah kepada pemainnya untuk membuat penyudah dan kemudian menjaringkan gol kedua dari gerakan tersusun,” katanya.
Mengulas lanjut, Durakovic berkata, walaupun pahit untuk ditelan tetapi mereka terpaksa akur dengan kekalahan kepada lawan yang bermain penuh semangat pada perlawanan itu.
“Saya bukan hendak berhelah tetapi pemain Perak menghadapi kesukaran selepas 10 hari berada di jalanan.
“Selepas Kuantan kami terus ke Alor Setar dan walaupun malam ini beraksi di gelanggang sendiri tetapi terpaksa buat perjalanan hampir 100 kilometer.
“Saya tidak boleh mengomel apa-apa kerana pemain sudah mencuba sedaya upaya cuma nasib tidak menyebelahi kami,” katanya.
Sementara itu, jurulatih PKNS FC, K Rajagopal memuji anak buahnya di atas kesungguhan dan komitmen hingga membuahkan kejayaan pada perlawanan itu.
“Jaringan pada minit awal berjaya menyemarakkan keyakinan dan semangat pasukan,” katanya.