Budak sakit lepas minum susu

Harian Metro - - Setempat -

Kota Kinabalu: “Selepas minum susu itu, anak saudara saya mengalami demam, cirit birit dan bengkak pada badan,” dakwa seorang wanita dikenali sebagai Nana, 28, sebelum anak saudaranya dibawa ke hospital kerana mengalami simptom itu.

Berikutan kejadian itu, Nana memuat naik status berkaitan susu itu di Facebook sehingga mendapat perhatian netizen terutama ibu bapa dengan status itu dikongsi lebih 2,000 pengguna sejak semalam.

Menurut Nana, kanak-kanak berusia tiga tahun terbabit memang meminum susu itu sebelum ini namun tidak pernah mengalami masalah kesihatan.

“Adik saya beli susu itu dalam bentuk pek promosi baru-baru ini di pasar raya dan sebelum ini, anaknya memang minum susu itu namun tiada masalah kesihatan dihadapi.

“Bagaimanap­un sejak empat hari lalu, anak saudara saya terpaksa dihantar ke hospital dan pihak hospital meminta kami melaporkan perkara itu kepada Kementeria­n Perdaganga­n Dalam Negeri, Koperasi dan Kepengguna­an (KPDNKK),” katanya semalam.

Bagaimanap­un, Nana berkata, laporan kepada KPDNKK belum dibuat setakat ini dan dalam masa sama tidak menolak kemungkina­n bahawa susu itu tiruan.

“Setakat ini, anak saudara saya masih mengalami simptom sama dan mungkin hari ini kami hantar dia semula ke hospital untuk rawatan. Sejak kejadian itu, adik saya tidak menggunaka­n susu itu untuk anaknya,” katanya.

Ketua Pegawai Penguatkua­sa KPDNKK Sabah, Yahya Sujak berkata, pihaknya menyedari dakwaan itu yang tular di laman sosial namun belum menerima laporan rasmi daripada mana-mana pihak.

“Pegawai saya ada berhubung dengan individu yang menyebarka­n perkara itu ke Facebook dan kami meminta mereka membuat laporan kepada KPDNKK untuk tindakan lanjut.

“Individu terbabit mendakwa anaknya sakit dan kini berada di hospital selepas meminum susu itu namun maklumat lanjut belum diperoleh kerana dia belum tampil ke pejabat kami untuk laporan rasmi,” katanya.

Sehubungan itu, Yahya menasihati orang ramai yang mengalami perkara sama supaya hadir ke pejabat KPDNKK yang berdekatan untuk membuat laporan.

“Banyak perkara perlu diperjelas­kan kepada kita (mengenai dakwaan itu) dan saya berharap mereka hadir ke pejabat kami untuk laporan. Selain itu, susu yang didakwa menyebabka­n anak mereka sakit jangan dimusnahka­n kerana ia adalah bukti paling penting untuk siasatan lanjut,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia

© PressReader. All rights reserved.