Harian Metro

Mangsa tak pernah mengadu

-

Seberang Jaya: Pembantu rumah warga Indonesia yang dipercayai mati didera majikannya petang kelmarin, berkhidmat sejak Disember 2014. Konsulat Hal Ehwal Indonesia di Pulau Pinang, Neni Kurniati, berkata, sepanjang tempoh itu pihaknya tidak pernah menerima aduan daripada mangsa berhubung penderaan dilakukan majikannya.

Malah, beliau berkata, pemeriksaa­n pihaknya turut mendapati mangsa dikenali sebagai Adelina, 21, beberapa kali bekerja di Malaysia, sebelum berkhidmat sebagai pembantu rumah.

“Kami tidak pernah menerima aduan daripada mangsa sejak dia bekerja dengan majikannya pada 2014.

“Adelina juga diketahui ada pasport sah, namun kami memeriksa dengan Jabatan Imigresen untuk mengetahui sama ada beliau ada permit kerja sah di sini,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Seberang Jaya di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Neni berkata, Adelina yang berasal dari Nusa Tenggara Timur difahamkan dibawa masuk oleh agensi pembantu rumah yang berpangkal­an di negara ini.

Katanya, ketika ini pihaknya bekerjasam­a rapat dengan pihak berkuasa tempatan bagi memperoleh laporan tepat berhubung kes berkenaan.

“Kami memeriksa lebih banyak butiran, termasuk mencari alamat sebenar waris Adelina di Indonesia.

“Selepas semua proses selesai, baru kita buat keputusan untuk langkah seterusnya, seperti urusan pengebumia­n dan sebagainya,” katanya.

Kelmarin, Adelina diselamatk­an polis selepas didakwa didera majikannya selama sebulan di Taman Kota Permai, Bukit Mertajam di sini.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia