Harian Metro

Jaga, hargai harta awam

 Rasulullah minta umat Islam sayangi kemudahan disediakan

- Penulis Pensyarah Jabatan Kejurutera­an Mekanikal Politeknik Muadzam Shah, Pahang

Kesedaran menjaga harta awam dalam kalangan masyarakat kita masih di tahap rendah apabila terdapat banyak kemudahan awam dirosakkan.

Ini termasuk kerusi di perhentian bas, pondok telefon, pintu tandas awam malah ada juga tangan nakal yang mencabut dan mencuri besi penutup longkang.

Bayangkan berapa banyak kos yang perlu ditanggung untuk membaik pulih semula kemudahan awam yang dirosakkan atau dicuri itu.

Islam mendidik umatnya bukan hanya perlu menjaga harta sendiri, malah harta awam juga perlu dijaga dan dipelihara seperti mereka sayang harta milik sendiri.

Disebabkan perbuatan nakal segelintir pihak itu, orang ramai mengalami kesukaran kerana kemudahan itu tidak dapat digunakan lagi atau tidak sempurna keadaannya. Sudah tentu ia memberikan pengalaman perit kepada pengguna.

Segala kemudahan yang disediakan kerajaan sebenarnya bertaraf kelas pertama. Banyak peruntukan disediakan pihak pemerintah untuk memberikan kemudahan dan keselesaan kepada rakyat.

Di sekolah, murid diajar subjek sivik dan kewarganeg­araan. Di dalam subjek itu terangkum nilai untuk menghargai dan memelihara harta awam.

Namun, entah mengapa kesan daripada pengajaran itu belum menampakka­n impak yang memberangs­angkan. Mungkin subjek itu tidak dijadikan asas penilaian dalam peperiksaa­n, maka pelajar tidak serius mengikuti sesi pembelajar­an itu.

Ini berbeza dengan sikap rakyat negara jiran kita seperti Singapura yang kesedaran sivik terhadap harta awam cukup tinggi. Harta awam yang disediakan kerajaan dianggap harta milik sendiri yang wajib dijaga dengan sempurna.

Dari sudut pandangan Islam, memelihara dan menjaga setiap harta awam perlu sentiasa diutamakan.

Satu hadis diceritaka­n oleh Abu Sa’id al-Khudri, katanya, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Awasilah kamu daripada duduk di tepi-tepi jalan.”

Ada sahabat berkata kepada Baginda SAW, “Wahai Rasulullah, kami tidak dapat mengelak daripada duduk di tepitepi jalan untuk berbincang.”

Kemudian Rasulullah SAW menyambung nasihatnya: “Kalau kamu tidak dapat mengelakka­nnya, maka berilah hak-hak jalan.”

Mendengar nasihat Baginda SAW itu, ada dalam kalangan sahabat yang belum mengerti maksud disampaika­n Baginda itu mengajukan pertanyaan.

Kata sahabat itu, “Apakah hak-hak jalan itu, wahai Rasulullah?” Lalu Rasulullah SAW berikan maklumat lanjut dengan bersabda yang bermaksud: “Tutuplah mata, tahankan diri daripada mengganggu orang ramai, jawab salam yang diberi, suruh berbuat makruf dan larang berbuat perkara mungkar.” (Hadis riwayat Imam Bukhari dan Abu Daud)

Kisah itu menunjukka­n perkara yang mungkin kita anggap kecil seperti lepak di tepi jalan itu pun ditegah, apatah lagi sekiranya melakukan perbuatan merosakkan harta awam.

Islam juga mengajar umatnya berbuat sesuatu yang boleh mendatangk­an manfaat kepada orang lain.

Sekecil mana sekalipun sumbangan kita buat untuk manfaat insan lain, ia dikira perbuatan diberi pahala di sisi Allah SWT.

Abu Hurairah memberitah­u, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Iman itu lebih 70 cabang. Paling tinggi ialah ucapan ‘Lailahaill­ah’ dan yang paling rendah ialah membuang gangguan di jalan.” (Hadis riwayat Imam Muslim)

Memelihara dan menjaga harta awam itu melambangk­an keimanan seseorang.

Ia juga sejajar dengan aspirasi negara menjadi sebuah negara maju. Justeru, seluruh masyarakat terutamany­a anak generasi muda sentiasa menghargai dan sedar prasarana yang disediakan adalah milik bersama.

Kita wajib mendidik generasi muda kita supaya menjadi insan berminda kelas pertama yang sentiasa bersyukur dengan apa saja bentuk nikmat yang dikurniaka­n.

Jangan menjadi ‘kera mendapat bunga’ yang tidak pandai menghargai dan bersyukur.

Awasilah kamu daripada duduk di tepi-tepi jalan. Wahai Rasulullah, kami tidak dapat mengelak daripada duduk di tepi-tepi jalan untuk berbincang. Kalau kamu tidak dapat mengelakka­nnya, maka berilah hak-hak jalan. Tutuplah mata, tahankan diri daripada mengganggu orang ramai, jawab salam yang diberi, suruh berbuat makruf dan larang berbuat perkara mungkar”

Hadis riwayat Imam Bukhari dan Abu Daud

 ??  ?? KEMUDAHAN awam seperti Taman Orkid diwujudkan sebagai tempat rekreasi untuk dikunjungi orang ramai.
KEMUDAHAN awam seperti Taman Orkid diwujudkan sebagai tempat rekreasi untuk dikunjungi orang ramai.
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia