Harian Metro

Masih jauh

Chong Wei akui rintangan skuad negara belum berakhir

- Ferzalfie Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my

Perseorang­an lelaki negara, Datuk Lee Chong Wei (gambar) mengakui perjalanan skuad negara masih belum terhenti dan perlu melalui pelbagai rintangan sebelum turun beraksi pada pusingan akhir Piala Thomas di Bangkok, Mei depan.

Menurutnya, Kejohanan Berpasukan Asia yang berakhir kelmarin hanya sekadar pusingan kelayakan tetapi paling penting mereka berjaya melayakkan diri ke Piala Thomas.

“Memang pada aksi terakhir menentang China (separuh akhir) kami mengadakan perbincang­an bersama Datuk Misbun Sidek dan Hendrawan untuk memberi peluang kepada Lee Zii Jia, Soong Joo Ven dan Iskandar Zulkarnain Zainuddin beraksi kerana ia membolehka­n mereka menyesuaik­an diri serta menjadi persiapan bagi kejohanan akan datang,” katanya.

Jelasnya, memberi ruang kepada pemain lain turun beraksi satu langkah baik walaupun mereka tumpas kepada skuad muda China.

“Perjuangan pemain perseorang­an lelaki termasuk gandingan beregu Goh V Shem-Tan Wee Kiong dan Ong Yew Sin-Teo Ee Yi masih belum berakhir.

“Mereka termasuk saya akan melalui pelbagai kejohanan di Jerman, Seluruh England dan Sukan Komanwel. Dari situ kami akan membuktika­n keupayaan masing-masing untuk aksi individu. Saya percaya walaupun kami berdepan aksi sukar di Piala Thomas nanti tapi kami boleh menjadi pencabar,” kata Chong Wei.

Selepas sambutan Tahun Baru Cina minggu ini Chong Wei akan meneruskan aksinya di peringkat antarabang­sa apabila bermain di Seluruh England.

Skuad negara berjaya layak secara merit ke Piala Thomas selepas muncul empat pasukan terbaik Kejohanan Berpasukan Asia.

Mereka berkongsi tangga ketiga-keempat bersama Korea Selatan selepas tunduk 1-3 kepada China pada separuh akhir, Sabtu lalu.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia