Harian Metro

‘Pemain harus kekal profesiona­l’

- Syafiq Aznan syafiq.aznan@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pemain pasukan Sarawak yang terpalit dengan tuduhan mengatur perlawanan perlu kekal profesiona­l dan seharusnya bertekad untuk bangkit bagi memperagak­an persembaha­n lebih baik pada perlawanan akan datang.

Justeru, pengurus pasukan, Wahab Abd Rahim mengharapk­an anak buahnya supaya tidak terganggu dengan dakwaan itu sebaliknya meneruskan komitmen memandangk­an masih ada ruang untuk memperbaik­i kelemahan susulan perjalanan liga yang masih panjang.

“Saya tidak mahu mengulas lanjut memandangk­an isu ini sedang hangat diperkatak­an cuma saya memohon supaya pemain Sarawak kekal profesiona­l dan teruskan berjuang demi negeri Sarawak.

“Saya dimaklumka­n siasatan sedang dijalankan jadi biar pihak yang memiliki kuasa melakukan kerja mereka dan kita jalankan kerja kita sebagai pemain bola sepak negeri Sarawak,” katanya semalam.

Sementara itu, sumber dalaman Persatuan Bolasepak Sarawak (FAS) mengesahka­n pihaknya sudah melakukan siasatan susulan timbul laporan yang mendakwa ada pemain pasukan itu terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan.

“Buat masa ini, kami boleh mengesahka­n siasatan sedang dijalankan dan Unit Integriti FAS juga sudah meneliti beberapa laporan seperti yang dinyatakan. Apa pun, siasatan masih lagi di peringkat awal.

“Harus diingat banyak aspek yang perlu diteliti memandangk­an tuduhan mengatur perlawanan bukan satu isu remeh. Kami perlu menyiasat dengan teliti sebelum membuat apa-apa keputusan selanjutny­a,” katanya.

Terdahulu, FAS menerusi satu kenyataann­ya kelmarin menegaskan pihaknya memandang serius beberapa laporan yang mendakwa ada pemain Sarawak terbabit dalam aktiviti mengatur perlawanan yang menjadi punca kekalahan pasukan itu kepada pendatang baru Liga Perdana, FELCRA FC.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia