Harian Metro

Lelaki pecah rumah sembunyi bawah katil

-

Kota Bharu: Seorang lelaki nekad menyorok di bawah katil untuk mengelak daripada ditahan penduduk kampung selepas melakukan jenayah pecah rumah di Kampung Telaga Gajah, Banggol di Pantai Cahaya Bulan (PCB) di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 11.55 malam itu, tindakan lelaki berusia 36 tahun itu memecah masuk sebuah rumah disedari anak saudara pemilik kediaman terbabit yang curiga selepas melihat sebuah motosikal diparkir di belakang rumahnya.

Dia terdengar bunyi bising dan mengesyaki rumah ibu saudaranya yang bekerja di Raub, Pahang dipecah masuk.

Berikutan itu, dia meminta bantuan beberapa penduduk kampung untuk mengepung rumah sebelum sebahagian daripada mereka masuk melalui dapur.

Mereka menemui lelaki berkenaan bersembuny­i di bawah katil dalam sebuah bilik rumah dua tingkat itu.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Ismail Mat Sidik berkata, suspek cedera ringan di kepala selepas bertindak agresif ketika ditahan penduduk kampung.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia