Harian Metro

Ajal tukar tayar

-

Petaling Jaya: Ajal ketika tukar tayar. Itu nasib menimpa dua daripada tiga beranak apabila terbunuh selepas dirempuh sebuah lori di Kilometer 19, Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), semalam.

Pemangku Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkua­saan Trafik (JSPT) Selangor Deputi Superinten­dan Sahimi Husin berkata, dalam kejadian jam 3.45 pagi itu, semua mangsa berasal dari Klang, Yu Sing Huat, 60, dan anak lelakinya, Yu Khang Ean, 30, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala anak perempuann­ya, Yu Yeh Suang, 31, parah.

“Ketika kejadian, Khang Ean, seorang Pegawai Perubatan Hospital Klang memandu kereta jenis Perodua Myvi bersama adiknya, Yeh Suang, berhenti di lorong kecemasan selepas tayar belakang bahagian kanan kereta mereka pecah.

“Sing Huat yang memandu sebuah lagi kereta jenis Perodua Myvi kemudian berhenti untuk membantu anaknya menukar tayar.

“Ketika mereka sedang menukar tayar, datang sebuah lori dari arah belakang dan merempuh ketiga-tiga mangsa,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, rempuhan itu mengakibat­kan Sing Huat dan Khang Ean mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Yeh Suang parah di bahagian badan dan dihantar ke Hospital Sungai Buloh, di sini,” katanya.

Sahimi berkata, pihaknya sudah menahan pemandu lori berusia 32 tahun itu yang berasal dari Shah Alam untuk siasatan lanjut.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia