Harian Metro

Harapan Blue Warriors makin samar

- Naqib Nor Said naqib@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Sekalipun belum bersedia mengangkat bendera putih, namun perjalanan Blue Warriors untuk memburu gelaran Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) 2018 seakan sudah tertutup biarpun ketika ini hanya dipisahkan dengan pendahulu PKS Uniten-KPT berdasarka­n kelebihan gol.

Dengan kedua-dua pasukan kini terikat 24 mata di persada liga, peluang lebih memihak kepada PKS Uniten kerana faktor lawan yang lebih mudah - MSN Kedah dan Penang Juniors - menanti mereka dalam baki dua perlawanan musim ini.

Berbeza dengan Blue Warriors kendalian Zulkhairi Ariffin apabila perlu berdepan UiTM di Stadium Tun Razak, esok dan aksi terakhir menentang seteru utama Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT) di Stadium Hoki Batu Burok, Isnin depan.

Bagaimanap­un, bagi Zulkhairi pasukannya yang juga naib juara liga tahun lalu akan terus berjuang selagi saingan belum berakhir.

“Memang pungutan mata kami sama (24 mata) tapi kami ketinggala­n berdasarka­n kiraan gol. Jadi kami tiada pilihan selain wajib menang dua aksi terakhir sambil berharap dua pasukan yang akan menemui PKS Uniten berjaya lakar kejutan.

“PKS Uniten akan berjumpa pasukan lebih senang selepas ini dan mungkin mampu menjarakka­n jumlah gol. Bagi saya peluang masih ada dan kami akan terus berjuang habis-habisan,” katanya.

Blue Warriors pada awalnya berpeluang untuk memintas kedudukan PKS Uniten di persada liga, namun mensia-siakan peluang itu apabila sekadar terikat 1-1 dan 2-2 dengan pencabar utamanya itu dalam dua aksi terakhir sebelum ini.

Malah, keputusan itu bukan saja menjejaska­n peluang mereka memburu kejuaraan tetapi juga mungkin menyebabka­n mereka kehilangan kedudukan kedua andai tewas dalam mana-mana satu aksi terakhir itu ketika TLHT kini mengekori di tangga ketiga dengan 20 mata dengan kekurangan satu aksi.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia