Harian Metro

Rooney Terengganu tak sabar jumpa NS

- Malik Muhamad sukanteam@nstp.com.my

Kuala Terengganu: Arkitek Terengganu FC (TFC), Lee Tuck mengakui dia tidak sabar untuk bertemu bekas pasukannya, Negeri Sembilan dalam aksi keempat Liga Super di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, esok.

Malah, pemain kelahiran Halifax, England yang digelar Wayne Rooney Terengganu dalam kalangan peminat setia skuad Penyu itu juga bertekad mahu menyajikan aksi terbaik bagi memastikan bekas pasukannya itu berputih mata di laman sendiri.

“Sasaran saya ke Paroi tidak ada matlamat lain kecuali tertumpu kepada kemenangan untuk mengutip tiga mata, saya akan lakukan yang terbaik sebagaiman­a tiga perlawanan terdahulu.

“Bagi memastikan matlamat itu tercapai, saya akan mengekalka­n emosi dan hanya memikirkan membantu Terengganu mencatat kemenangan bertemu pasukan itu,” kata Tuck yang pernah muncul pemain terbaik Piala Menteri Besar Terengganu bulan lalu.

Ketika bertemu skuad Selangor sebelum ini, pemain berusia 30 tahun itu memulakan kariernya bersama kelab Halifax Town ketika berusia 19 tahun meledak dua jaringan untuk membantu pasukannya menang 4-1.

Pemegang rekod jaringan paling jauh dalam Liga Malaysia (Liga M) itu juga bijak membentuk kombinasi mantap di jentera tengah pasukan bersama pemain dari Kemboja, Thierry Chantha Bin dan pemain tempatan Mohd Faiz Mohd Nasir.

Ketika ditanya adakah dia bakal dikawal rapi skuad Hobin Jang Hobin, pemain yang memiliki ketinggian 1.75 meter itu mengakui hakikat berkenaan.

“Itu sudah dijangka, tapi saya juga sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan itu kerana tahap permainan saya kini semakin baik dan serasi serta tidak sabar untuk bertemu pasukan lama.

“Selain itu, kejayaan meledak dua gol ketika bertemu Selangor tempoh hari bagus buat saya untuk meningkatk­an lagi kualiti permainan dan seterusnya memberi impak yang besar terhadap pasukan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia