Dua gol tak cukup bantu Napoli
Bern, Switzerland: Pendahulu Serie A, Napoli hampir mencipta kebangkitan dramatik dalam Liga Europa apabila menang 2-0 di RB Leipzig, namun tersingkir berdasarkan jaringan tempat lawan pada saingan peringkat 32 pasukan terakhir, semalam.
Kelab Itali itu tewas 1-3 di laman sendiri minggu lalu pada pertemuan pertama dengan persembahan yang memalukan jurulatih Maurizio Sarri, walaupun dia menekankan menang Serie A menjadi keutamaan.
Mereka mengembalikan sedikit rasa hormat pada perlawanan kedua ketika Piotr Zielinski menjaringkan gol pada minit ke-33 dan Lorenzo Insigne menyudahkan hantaran lintang Jose Callejon berbaki lima minit permainan.
Ia mencetuskan aksi hebat dan Callejon mampu memberikan kemenangan pada masa tambahan tetapi sepakannya sedikit keluar.
Penyerang Lazio, Ciro Immobile menjaringkan hatrik untuk membantu pasukannya menang 5-1 mengatasi FCSB yang sebelumnya dikenali sebagai Bucharest, selepas tewas 0-1 pada perlawanan pertama.
Dalam pada itu, kelab Russia, Lokomotiv Moscow dan Zenit St Petersburg masing-masing menang di laman sendiri dalam cuaca buruk untuk terus mara.
Jaringan Igor Denisov pada babak pertama memberikan Lokomotiv kemenangan 1-0 mengatasi Nice, melengkapkan kemenangan 4-2 secara agregat manakala Zenit menewaskan Celtic 3-0 untuk menang 3-1 menerusi jaringan Branislav Ivanovic, Daler Kuzyaev dan Aleksandr Kokorin. - Reuters