AFFENDI LIGAT BERDAKWAH
Ketika zaman kegemilangannya sebagai pemain bola sepak sekitar tahun 1990an, Affendi Julaihi mendapat jolokan ‘The Speedy Gonzales’ kerana kepantasannya bak lipas kudung.
Ada laporan menyatakan Affendi asalnya adalah seorang pelari pecut yang pernah mencatat bawah 11 saat dalam acara 100 meter. Aset ini digunakan sebaik mungkin apabila beliau beralih ke bidang bola sepak dengan mewakili Sarawak, Kelantan dan Negeri Sembilan.
Satu peristiwa masih dikenang oleh peminat adalah insiden Affendi menerjah pintu gol pasukan Kemboja sehingga tiang gol tumbang semasa mewakili Malaysia pada Sukan SEA 1995 di Thailand.
Ketika itu skuad negara sedang mendahului 9-0. Pada minit ke-83, Affendi membuat rembatan sambil berlari tapi bola terkena palang sementara beliau yang gagal ‘menekan brek’ terus menerjah jaring sehingga tiang gol tumbang.
Anuar Abu Bakar yang membuat tindakan susulan berjaya menjaringkan gol namun tidak dikira pengadil kerana pintu gol ‘tidak ada’.
Itu kisah lebih 20 tahun lalu. Kini, selepas bersara pada tahun 2000, Affendi ‘ligat’ pula sebagai pendakwah bersama kumpulan tabligh yang membawanya sehingga ke United Kingdom, Jerman, Itali dan Australia.
Memandangkan bola sepak sudah sebati dengan dirinya, beliau tetap aktif bersama pasukan veteran Sarawak tetapi lebih kepada riadah, amal serta jambatan silaturahim dalam kalangan bekas rakan sepasukan.
“Bola sepak itu sudah menjadi darah daging saya, tidak mungkin dapat dipisahkan terus walaupun sudah bersara. Selain aktif bersama pasukan veteran, saya adalah bendahari Persatuan Bekas Pemain Bolasepak Sarawak (PBPBS).
“Tapi keutamaan saya sekarang adalah tanggungjawab terhadap Allah yang mana masa saya lebih banyak dimanfaatkan menyertai kerja dakwah. Saya bersyukur kerana diberi kesempatan melakukan ini,” katanya.
Menurut
Affendi, 49, beliau mula membabitkan diri bersama kumpulan tabligh ketika masih aktif bermain bola sepak pada 1997 namun lebih serius selepas bersara pada tahun 2000.
Pada tahun 2005, beliau mendalami ilmu agama selama setahun di Darul Ulum Islamiyyah di Jerantut Pahang, kemudian menyambung pengajian selama empat tahun di Miftahul Ulum, Seri Petaling, Selangor pada 2006 hingga 2010.
Affendi kini memberi tumpuan kepada tujuh buah madrasah Darul Ulum Islamiyyah yang beliau dirikan secara berperingkat sejak tahun 2010 lalu yang mana mampu menampung 200 pelajar.
“Saya menubuhkan lima madrasah di Kuching serta setiap satu di Saratok dan Pulau Tuba, Langkawi. Selain mendalami agama kami memberi penekanan kepada pengajian al-Quran bagi melahirkan lebih ramai hafiz dan hafizah.
“Pada masa sama, pelajar kami turut mempelajari subjek Matematik dan Sains bagi membolehkan mereka menyambung pengajian ke pusat pengajian tinggi.
“Saya mempunyai impian besar, iaitu menubuhkan sebuah pusat pengajian Islam bertaraf antarabangsa yang bukan sahaja bakal menjadi pusat ilmu untuk anak-anak Malaysia malah luar negara,” kata bapa kepada seorang anak lelaki, Muhammad Ilyas, 8, hasil perkahwinan dengan Hafizah Abu Zhar.
Mengimbas pembabitannya dalam bola sepak Affendi yang berasal dari Kuching mewakili Sarawak pada 1990 hingga 1997 sebelum berhijrah ke Negeri Sembilan pada 1998 dan Kelantan (1999).
Sepanjang kariernya, beliau menikmati kejayaan menjulang Piala FA pada 1992 dan liga pada 1997. Affendi turut mewakili skuad kebangsaan antara tahun 1994 hingga 1997 dengan aksi dalam beberapa pertandingan, antaranya, Sukan SEA dan Pestabola Merdeka.
“Saya menikmati setiap detik karier sebagai pemain bola sepak terutama bila Sarawak menjulang Piala FA dan liga. Namun, saya merasai kehidupan hari ini lebih kemanisan,” katanya.