Beg kepit sentuhan tradisional
Ketika ramai wanita sebayanya berhabis wang ringgit mendapatkan koleksi beg tangan rekaan moden berjenama luar negara, Nurraini Mohd Amin bangga mengepit beg tangan berhias dokoh piuter ke majlis rasmi, bertemu golongan kenamaan mahupun keluar bersantai dengan rakan.
Bukan kerana dia sendiri mengasaskan jenama beg tangan Nusantara Touch, tetapi anak kelahiran
Kuala Lumpur ini cukup berbangga menonjolkan elemen kemelayuan dalam dirinya.
Kata Nurraini, dia mampu menggayakan beg tangan moden seperti ramai wanita lain, tetapi jiwanya lebih cintakan warisan tradisional yang kian dilupakan.
Bercerita lanjut, wanita ini mengakui tidak mempunyai asas pengetahuan dalam rekaan, sebaliknya memiliki kelulusan akademik dalam bidang seni bina dan pengurusan perniagaan.
“Tamat melanjutkan pelajaran dulu, ibu pernah
‘bising’ kerana saya masih tidak bekerja.
Berikutan itu, saya mengambil keputusan bekerja di syarikat percetakan milik abang.
“Dipendekkan cerita, sepanjang bekerja di sana, saya menguruskan tempahan kad kahwin. Jadi, apabila ada pelawaan daripada Kraftangan Malaysia untuk menyertai Promosi Kerja Kahwin, saya ditugaskan menjaga gerai pameran.
“Dari situlah saya mula mengenali seni logam, mengetahui nilai pasaran timah, perak, tembaga dan potensi untuk dimajukan,” katanya.
Terpikat dengan penghasilan aksesori pengantin, Nurraini kemudian nekad memulakan perniagaan sendiri dengan seorang rakan kongsi. Hampir lima tahun bergerak dalam nada sama, Nurraini kemudian keluar dari zon selesa dan memulakan jenamanya sendiri.
“Saya bermula dengan penghasilan cenderahati piuter dan aksesori tradisional seperti kerongsang, dokoh dan loket. Kemudian, saya cuba meneroka pasaran beg tangan dengan kerjasama dua usahawan kraf jahitan.
“Aksesori dan beg ini biasanya saya hasilkan secara bermusim, iaitu sekitar Mac dan April, menghampiri hari raya. Melihat kepada sambutan yang diterima, barulah saya adakan stok di butik untuk pasaran pembeli,” katanya.
Jelas anak keempat daripada enam beradik ini, dia seronok menghasilkan rekaan beg kepit unik untuk wanita yang mementingkan kelainan dan sentuhan tradisional dalam gaya.
“Lazimnya saya menghasilkan beg kepit lebih panjang daripada biasa. Saiz ini sesuai untuk wanita berbadan besar dan tinggi atau mereka yang kurus langsing dan tinggi.
“Jika mencari beg bersaiz seumpama ini di pasaran, memang tidak akan jumpa kerana setiap satunya dihasilkan tukang jahit mengikut rekaan khusus. Beg ini kemudian saya padankan dengan dokoh lebar, bulat, loket atau aksesori tradisional lain yang dihasilkan daripada timah.
“Tidak semua dokoh sesuai dengan potongan beg. Jadi, saya perlu sesuaikan aksesori dengan beg kepit supaya nampak seimbang, mewah dan paling utama, klasik,” katanya.
Menurut Nurraini, pengalaman selama tujuh tahun menghasilkan beg dengan aksesori piuter memberi banyak kelebihan untuknya meningkatkan kreativiti.
“Saya pilih beg kepit
Nurraini padankan dengan dokoh atau aksesori lain menjadikan ia unik
sebab ia senang dan ringkas. Beg ini juga praktikal untuk sesiapa saja, tidak kira tua atau muda. Ia boleh digayakan untuk ke majlis rasmi, kenduri, ke pejabat mahupun bersantai.
“Paling penting, ia juga mudah digayakan dengan pelbagai jenis busana, tidak kira moden, tradisional, kasual mahupun mewah. Hanya padankan saiz beg dengan saiz tubuh pemakai, dan ia boleh terus digayakan bila-bila masa.
“Kebanyakan wanita kini sudah semakin bijak bergaya. Jadi, rekaan beg bukan lagi masalah. Sekalipun fesyen kini selari dengan perkembangan teknologi, warisan tradisional jangan kita ditinggalkan.
“Saya akan terus menaikkan seni budaya Melayu dalam penghasilan produk dan aksesori supaya tidak lapuk dek zaman. Sebab itu saya bangga setiap kali membimbit beg dengan hiasan dokoh. Ia menonjolkan seni budaya Melayu yang sewajarnya dibanggakan,” katanya.