60,000 aspirasi bangun negara
Kanvas Belia TN50 hasil sesi dialog bersama dua juta belia di seluruh negara
Setahun selepas dilancarkan, Transformasi Nasional 2050 (TN50) mula menunjukkan hasilnya apabila pelbagai idea yang langsung tidak terfikir selama ini, berjaya dilontarkan golongan muda sepanjang sesi dialog diadakan di seluruh negara.
TN50 menjadi pencetus kepada pembabitan orang muda dalam tempoh 30 tahun dan laporan aspirasi belia yang didokumenkan dalam bentuk Kanvas Belia TN50 akan diserahkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Rabu ini.
Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, laporan itu adalah rumusan kepada setiap aspirasi yang diterima sepanjang inisiatif pendampingan belia TN50 tahun lalu dengan melaksanakan dialog lebih 135 kali yang dikendalikan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta bengkel dan saluran dalam talian.
Beliau berkata, dialog diadakan membabitkan hampir dua juta belia dan KBS berjaya mengumpul lebih 60,000 aspirasi yang unik untuk diserahkan kepada Perdana Menteri.
“Kita sudah merumuskan semua ini dalam bentuk laporan yang dikenali sebagai Kanvas Belia TN50 dan diserahkan kepada Perdana Menteri dalam satu majlis yang disiarkan secara langsung di televisyen.
“Laporan ini mempamerkan tahap pemikiran generasi muda yang menyumbang kepada proses dari bawah ke atas untuk melahirkan satu visi bagi tiga dekad akan datang.
“Antaranya belia mahu melihat sebuah negara inklusif yang menyediakan peluang adil kepada semua rakyat Malaysia yang mengamalkan kelestarian dalam pembangunan.
“Selain itu, mereka mahukan tadbir urus yang efektif yang bertanggungjawab terhadap sistem pendidikan cemerlang. Pada masa sama, memelihara warisan budaya dan sebuah negara bersatu padu.
“Yang mana identiti utama kita
adalah sebagai rakyat Malaysia dan bukan dilihat dari sudut etnik,” katanya ketika ditemui.
Khairy berkata, input dihasilkan memiliki kualiti tinggi kerana meliputi pemikiran belia pada tempoh 30 tahun akan datang, menjangkakan beberapa perubahan, penuaan masyarakat dan urbanisasi yang lebih tinggi.
“Antara tujuh perkara penting dalam laporan ini adalah pertama Ekonomi Dinamik, Kerjaya Memberangsangkan. Ramai belia meletakkan bab ini sebagai keutamaan.
“Jadi pendekatan kita adalah bagaimana mahu memastikan ekonomi berada pada kedudukan terbaik dan tersenarai antara 20 teratas di dunia dengan membekalkan pekerjaan berpendapatan tinggi.
“Ini termasuk tenaga kerja tidak diganti dengan robot, automasi dan sebagainya.
“Yang kedua, Pendidikan Untuk
Masa Depan. Maksudnya, sistem pendidikan menyediakan kokurikulum dan pengajaran yang dapat mengatasi segala gangguan teknologi pada masa akan datang.
“Kita lebihkan kepada sistem pendidikan meraikan kejayaan berbeza, tidak semestinya ikut aliran vokasional dianggap seorang pelajar yang gagal tapi lebih senang dengan latihan amali, berbanding akademik.
“Seterusnya, ketiga Masyarakat
yang Adil dan Kukuh di mana tidak ada mana-mana pihak yang ketinggalan, ada jaringan keselamatan sosial.
“Membawa pembangunan ke kawasan luar bandar contohnya, aspirasi belia mahukan kampung itu kekal dengan identiti tetapi mempunyai kemudahan moden seperti di bandar.
“Keempat, Kesihatan dan Kesejahteraan Dijadikan Asas bagaimana kita harus lebih peka dengan kesihatan diri. Jika tidak, kita melihat kepada peningkatan penyakit seperti kencing manis, sakit jantung dan sebagainya.
“Kelima Tanggungjawab Terhadap Khazanah Semulajadi termasuk pembangunan teknologi hijau; keenam Tadbir Urus yang Efektif dan Amanah serta ketujuh Negara Kaya Budaya dan Bersemangat Juara,” katanya.
Dalam pada itu, kata Khairy cabaran dihadapi pada masa kini adalah perubahan sikap untuk mencapai matlamat terbabit.
“Sebagai contoh, menjadi negara lestari atau dalam istilah antarabangsa karbon neutral. Kita menjadi negara berjaya mengurangkan pengeluaran gas karbon.
“Ini hanya dapat dikecapi sekiranya kita ada perubahan dalam hidup. Bagi saya, ia bergantung kepada kesediaan untuk mengamal gaya hidup yang berbeza.
“Atas sebab itulah, kita perlu menanam budaya dan sikap di peringkat awal. Sebab itu jugalah TN50 memperkenalkan modul disiplin kebersihan bermula di tadika dan ini sudah dipersetujui jemaah menteri,” katanya.
Khairy juga terpegun dengan kehebatan belia pada hari ini dan menggambarkan tahap pemikiran mereka sudah berubah.
“Banyak kali saya dengar mereka melontarkan idea seperti pembangunan bukan sahaja merangkumi fizikal tapi pemuliharaan alam sekitar.
“Dari segi teknologi hijau, mereka ada memaklumkan supaya kita import kenderaan elektrik untuk digunakan di negara ini.
“Sebab itulah, tiada sebarang kontroversi atau soalan panas muncul sepanjang persidangan di parlimen mengenai TN50. Lagipun, pembangkang sudah tahu TN50 bukanlah politik tapi ia usaha menyediakan negara bagi menghadapi 30 tahun akan datang.
“Sekiranya berlaku peralihan kerajaan, TN50 perlu diteruskan kerana menghormatinya sebagai suara rakyat...ia bukan saya atau PM,” katanya.
Pendekatan kita adalah bagaimana mahu memastikan ekonomi berada pada kedudukan terbaik dan tersenarai antara 20 teratas di dunia dengan membekalkan pekerjaan berpendapatan tinggi
Khairy Jamaluddin