Pelumba Cub Prix maut kemalangan
Motosikal ditunggang Zaidy terbabas elak objek di lebuh raya
Pelumba Cub Prix, Zaidy Mohamad Zaifaizal Mahendran tidak sempat menyambut kelahiran anak ketiganya apabila dia meninggal dunia dalam kemalangan di Kilometer 22.9 Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) arah utara, dekat Pajam, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi, pelumba pasukan Motul Yamaha YY Pang berusia 27 tahun itu dikatakan dalam perjalanan dari Seremban ke Kuala Lumpur.
Isterinya, Nurul Ain Nor Azli, 24, yang sarat mengandung lapan bulan hanya mengetahui tragedi menimpa suaminya itu sebaik dimaklumkan kakak ipar jam 2.30 pagi.
“Ketika itu, saya berada di rumah bersama dua anak lelaki berusia lima dan dua tahun di Selayang (Selangor). Saya terima panggilan daripada kakak ipar memberitahu suami terbabit kemalangan.
“Saya kemudian menghubungi telefon bimbit suami untuk mendapatkan kesahihan. Seorang lelaki menjawab panggilan dan memberitahu suami saya me- ninggal dunia,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini.
Menurut Nurul Ain, sebelum kejadian, arwah menjemputnya pulang dari bekerja di Kuala Lumpur sebelum arwah keluar semula untuk bertemu rakannya.
Katanya, arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan dan dia reda dengan ketentuan Ilahi.
Abang sulung arwah yang mahu dikenali Zaiernan Hady, 30-an berkata, Zaidy menghubunginya kira-kira jam 9 malam semalam menyatakan hasrat untuk bersara daripada dunia perlumbaan.
“Arwah juga ada bertanya saya jika dia ada berhutang minta dihalalkan. Saya pelik dengan pertanyaan itu, tetapi tidak mengesyaki apa-apa hingga saya dikejutkan dengan insiden menimpa arwah iaitu lima jam selepas dia menghubungi saya,” katanya.
Jenazah Zaidy dibawa pulang ke kampung halaman keluarganya di Batu Feringghi, Pulau Pinang untuk dikebumikan Asar.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Zaldino Zaludin berkata, siasatan mendapati motosikal Yamaha Y15ZR ditunggang mangsa hilang kawalan dipercayai cuba mengelak objek di atas jalan menyebabkan mangsa terbabas ke lorong kanan.
“Seorang lagi penunggang, Dzul Fikar Idris, 27, yang berada di lorong tengah mengelak melanggar motosikal mangsa menyebabkan dia turut terbabas dan terjatuh,” katanya.
selepas
solat