Program KKP amalan selamat, sihat di sekolah
Kuala Lumpur: Sekolah perlu mengambil bahagian menerusi program Kesihatan Pekerjaan Sekolah (KKP) dalam membantu meningkatkan kesedaran mengenai aspek keselamatan dan kesihatan.
Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pembabitan pelajar perlu kerana mereka bertindak sebagai mata dan telinga bagi pihak pengurusan sekolah.
Beliau berkata, apabila amalan KKP dilaksanakan termasuk menggunapakai konsep pengenalan bahaya, penilaian risiko dan kawalan risiko (HIRARC), pelajar akan segera memaklumkan kepada pihak pentadbiran jika melihat sesuatu yang boleh menimbulkan bahaya kepada mereka dan orang lain seperti kabel elektrik terdedah, tiang gol berkarat, kebocoran bahan kimia atau pekerja yang tidak mematuhi peraturan keselamatan.
“Sekolah selamat tidak hanya bermakna ia bebas daripada masalah disiplin dan jenayah lain seperti buli, gangsterisme dan penyalahgunaan dadah, sebaliknya sekolah perlu memastikan semua kemudahannya selamat, malah mereka harus didedahkan kepada budaya keselamatan serta kesihatan baik supaya mereka akan memahami dan mengamalkan konsep berkenaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di sini, semalam berhubung insiden membabitkan bumbung bilik darjah runtuh di Sekolah Kebangsaan (SK) Jerangau, Dungun di Terengganu minggu lalu.
Lee berkata, dalam insiden itu, ia menunjukkan aspek keselamatan di sekolah perlu ditingkatkan dan tidak boleh diabaikan.
Lee berkata, program KKP dianggap lebih komprehensif kerana menganggap sekolah sebagai tempat kerja dan tertakluk mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994.
Ia bertujuan memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan di tempat kerja, melindungi orang lain yang turut berada di tempat kerja dan menyediakan persekitaran kerja yang kondusif sesuai dengan keperluan psikologi serta fisiologi pekerja.
Hingga kini, lebih 50 sekolah menyertai program yang diadakan melalui kerjasama antara Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Pendidikan sejak tahun 2015.