Kios JPJ bakal dinaik taraf
Pahat: Kementerian Pengangkutan akan menaik taraf mesin kios Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membolehkan perkhidmatannya ditambah baik serta diperluas ke seluruh negara.
Timbalan Menterinya Datuk Ab Aziz Kaprawi berkata, langkah itu diambil bagi mengurangkan kesesakan di cawangan JPJ seluruh negara di samping memudahkan orang ramai.
Katanya, ketika ini bilangan mesin kiosk JPJ terhad dan hanya boleh diakses di sesetengah kawasan utama.
“Kementerian Pengangkutan menaik taraf serta menambah baik perkhidmatan mesin kios JPJ dan mahu ia diperluaskan ke seluruh negara.
“Kita juga merancang meletakkan mesin kios JPJ ini di tempat tumpuan utama orang ramai selain cawangan JPJ supaya perkhidmatannya dapat menjangkau lebih ramai orang.
“Langkah ini bukan saja dapat mengurangkan kesesakan di kaunter JPJ seluruh negara malah mampu mengurangkan beban kakitangan JPJ,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Surau Al-Fayyadh dan Hari Bertemu Pelanggan 2018 di JPJ Batu Pahat.
Hadir sama, Pengarah JPJ Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus.
Sebelum ini, pelbagai pihak menyarankan JPJ menambah bilangan dan menaik taraf perkhidmatan mesin kios jabatan itu di seluruh negara yang dilaporkan kerap berdepan masalah teknikal di samping tidak boleh diakses dengan mudah.
Mesin kios itu diperkenalkan November 2013 untuk kemudahan orang ramai dan pelanggan JPJ menjalankan urusan memperbaharui lesen memandu, cukai jalan dan pembayaran saman.