Tiada motif politik
PM perjelas BR1M diwujudkan atas cadangan BNM selepas kaedah pemberian subsidi berpukal ditegur Bank Dunia
Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang diwujudkan bagi membantu golongan yang berkelayakan bagi mengelak ketirisan lebih besar bukannya bermotifkan politik atau kepartian.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata, cadangan memperkenalkan BR1M pada 2012 bukan melalui dirinya atau mana-mana parti politik sebaliknya oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selepas kaedah pemberian subsidi berpukal yang diamalkan sejak sekian lama ditegur Bank Dunia.
Menurutnya, BNM mencadangkan supaya kaedah subsidi bersasar dilaksanakan bagi menggantikan subsidi pukal yang berlaku ketirisan seperti barangan bersubsidi seperti petrol RON 95 dinikmati warga asing, pelancong dan hanya menguntungkan golongan berpendapatan tinggi yang memiliki kenderaan berkuasa besar.
“Ini tidak adil kepada orang berpendapatan rendah, Bank Dunia menegur dan minta supaya dasar berkenaan diubah, ia diberitahu kepada saya dalam taklimat BNM pada 2011 dan saya boleh sahkan bahawa ini (BR1M) tiada kaitan kepartian.
“Kalau nak beli undi kita hanya bagi kepada puak kita saja, tetapi semua dapat termasuk di negeri ditadbir pembangkang, negeri ditadbir pembangkang adalah penerima tertinggi BR1M dan kita pilih penerimanya bergantung kepada pendapatan,” katanya ketika melancarkan BR1M Peringkat Kebangsaan di Dewan Konvensyen Sultan Haji Ahmad Shah di sini, semalam.
Hadir sama Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.
Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan turut menyampaikan fasa pertama BR1M kepada 2,000 penerima.
Najib berkata, BR1M merangsang ekonomi negara yang pada asasnya adalah meningkatkan ia melalui peningkatan ekonomi domestik menerusi perbelanjaan dilakukan penerima termasuk untuk barangan keperluan harian.
“Negara lain pun hendak buat, ada negara terus masuk akaun dan ada negara di Timur Tengah naikkan harga minyak 126 peratus dan kemudian bayar semula kepada rakyat.
“Sebab itu bila orang kata kita bagi dedak dan (gelarnya) itu semua mengarut. Sebab apa? Zaman dia tidak buat, tetapi zaman saya beri kepada rakyat.
“Kalau tidak suka BR1M, tolong beri cadangan lebih baik untuk tolong B40 bukan hanya mengkritik semata-mata,” katanya.