Kelibat van putih mundar-mandir
Kajang: “Saya nampak sebuah van putih mundar-mandir di depan rumah jiran sebelum kebakaran berlaku,” kata jiran mangsa kebakaran dipercayai akibat khianat di Taman Cheras Prima di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 1.30 pagi, pintu rumah mangsa berusia 49 tahun dikunci dari luar menggunakan mangga oleh individu dipercayai membakar kediaman lelaki berkenaan.
Kejadian itu menyebabkan anak bongsu mangsa berusia 13 tahun cedera di belakang badan selepas terjun melalui tingkap rumah teres dua tingkat berkenaan bagi menyelamatkan diri.
Dia kemudian dihantar ke Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan.
Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, dia melihat sebuah van putih lalu di depan rumah lelaki berkenaan tiga kali sebelum kejadian.
“Kira-kira jam 9 malam, saya lihat ada van putih mundar-mandir di depan rumah jiran.
“Apabila lalu di depan rumah itu, pemandunya memperlahankan kenderaan seolah-olah memerhatikan mereka.
“Namun saya tidak mengesyaki sesuatu yang buruk menyebabkan saya tidak ambil pusing mengenai kehadiran van itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Lelaki itu berkata, dia hanya menyedari kebakaran selepas dimaklumkan isterinya yang melihat api marak.
“Ketika kejadian, saya tidur sebelum dikejutkan isteri yang memaklumkan mengenai kejadian itu kira-kira jam 1.30 pagi.
“Saya terus bangun lalu bergegas ke rumah jiran dan mendapati mereka menyelamatkan diri dengan terjun melalui tingkap,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff, ketika dihubungi memaklumkan pihaknya masih menjalankan siasatan berhubung kejadian.