JPJ beri penjelasan cermin lori tertanggal bukan pecah
Kuala Lumpur: Cermin lori sedia ada sudah tertanggal dan jatuh namun tidak pecah.
Itu penjelasan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas beberapa gambar tular di media sosial kelmarin mendakwa penguatkuasaanya bertindak samseng dengan memecahkan cermin kenderaan itu untuk mendapatkan maklumat pemandunya.
JPJ dalam kenyataannya berkata, pada awalnya anggota penguatkuasa mengesyaki sebuah lori membawa muatan melebihi had tidak dibenarkan di Kilometer 29, Jalan Johor Bahru ke Kota Tinggi, Johor, Selasa lalu.
Katanya, penguat kuasa mengekori lori itu sebelum mengarahkan pemandunya berhenti di bahu jalan untuk pemeriksaan lanjut.
“Pemandu lori itu memberhentikan kenderaannya namun dia menyorok dan mengunci semua pintu lori.
“Ketika pemeriksaan, kami mendapati ada ruang terbuka di sebelah tingkap kiri bahagian belakang kenderaan itu lalu menyelak langsir tingkap dan mendapati pemandu berada di dalam.
“Bagaimanapun, pemandu itu enggan bekerjasama apabila diminta untuk diperiksa permit dan dokumen berkaitan.
“Pemandu itu juga menuduh anggota JPJ memecahkan cermin lorinya sedangkan ia sudah tertanggal dan jatuh ke tanah terlebih dulu namun ia tidak pecah,” katanya.
Susulan itu, JPJ membuat laporan polis berhubung ugutan dibuat pemandu lori itu yang berkemungkinan mengancam keselamatan anggota penguatkuasanya dan keluarga mereka.
“Dengan itu, JPJ menafikan tohmahan yang tular di media sosial, malah turut kecewa dengan dakwaan palsu dilemparkan mempersoalkan tugasan anggota terbabit bagi menjamin keselamatan pengguna jalan raya.
“JPJ meminta masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan sebarang cerita, perkongsian atau berita tanpa mendapatkan kepastian daripada sumber yang benar,” katanya.