SEMAKIN BIJAK BERKOMUNIKASI
Bijak berkomunikasi dan pantas dalam membuat keputusan.
Itulah yang diakui penuntut tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Ekologi dan Biodiversiti, Nur Ain Mohd Arifin sejak membabitkan diri secara aktif dengan aktiviti kokurikulum Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.
Nur Ain berkata, pembabitan dengan aktiviti luar akademik membantunya memantapkan jati dirinya.
Katanya, pengalaman mengendalikan aktiviti di kampus berbeza berbanding zaman persekolahan kerana di universiti penuntut didedahkan dengan semua golongan masyarakat.
“Pada tahun pertama pengajian saya dilantik menjadi pengarah projek untuk Bengkel Fotografi dan Grafik di kolej kediaman.
“Pada awalnya memang agak susah sebab saya belum ada pengalaman dan perlu bekerjasama dengan ahli yang berlainan latar belakang, fakulti serta berbilang bangsa.
“Tapi saya tidak malu bertanya dengan pihak pengerusi kelab untuk minta tunjuk ajar. Alhamdulillah, saya banyak belajar benda baru,” katanya.
Paling ketara katanya, komunikasinya menjadi semakin baik dan berupaya mengendalikan majlis.
“Dulu takut hendak bercakap, menggigil, sekarang semakin baik kerana banyak aktiviti memerlukan saya berkomunikasi dengan banyak pihak.
“Malah, melalui pengalaman itu, saya juga semakin yakin untuk selesaikan masalah dengan cepat dan pantas membuat keputusan,” katanya.
Nur Ain berkata, mengikuti aktiviti kokurikulum itu membolehkan dia belajar menjadi pemimpin yang baik sekali gus contoh kepada rakan.
“Sekarang, saya pula diamanahkan memegang jawatan pengerusi kelab media itu dan membantu melahirkan lebih ramai pemimpin dengan pelbagai kemahiran,” katanya yang juga memegang jawatan pemudah cara Mahasiswa Kolej 12 ketika minggu Haluan Siswa 2017/2018.
Sementara itu, penuntut Pengurusan Keusahawanan Komputer, Muhammad Hafizin Hilmi Zaidi, 20, berkata banyak manfaat diperolehnya selepas mengikuti aktiviti di kampus.
Katanya, walaupun sibuk dengan aktiviti kampus kerana memegang jawatan penting, ia tidak menghalang pemuda itu mengutamakan akademik.
“Pada awalnya, saya terfikir juga ia akan mempengaruhi aktiviti pembelajaran dan pengajian, alhamdulillah dengan sokongan mentor dan rakan-rakan banyak membantu dalam mengendalikan tugasan luar.
“Di sini, kerjasama ahli lain perlu kerana masingmasing mempunyai komitmen sama. Perlu ada perancangan masa yang betul supaya tidak tercicir dalam pengajian,” katanya.
Muhammad Hafizin berkata, dia gembira kerana dengan pembabitan itu membaiki cara komunikasinya dan interaksi dengan orang ramai yang berbeza watak ketika berurusan.
“Ia melatih pengurusan kemahiran saya, aktiviti kampus juga menjadi senang kerana saya juga mengambil kursus berkenaan pengurusan.
“Jadi saya praktikkan ketika mengikuti aktiviti kampus dan dengan cara ini ia meningkatkan sifat kepemimpinan di dalam diri,” katanya.
Dia mengakui pembabitan dalam aktiviti kampus berupaya memupuk semangat kerjasama dan paling utama belajar memikul tanggungjawab.
“Aktiviti kampus dan kesukarelawanan sebenarnya medan melatih dan membina diri kita ke arah yang lebih baik serta maju.
“Pembabitan dalam aktiviti kampus sangat digalakkan kerana peluang ini hanya ada ketika pengajian saja. Terlalu banyak manfaat yang diperoleh sebelum mahasiswa melangkah ke alam pekerjaan,” katanya.
Malah presiden
Kelab Rekreasi UniKL Institute Information of Technology (MIIT) itu menyarankan mahasiswa tidak menjadikan aktiviti kokurikulum sebagai satu bebanan kerana pembabitan itu membantu memantapkan jati diri graduan.