Artis otai jadi pilihan
Pembabitan selebriti dalam program automotif bagi menarik kehadiran ramai pengunjung bukan perkara baru.
Terbaru, barisan artis otai jadi pilihan penganjur CA Event bagi menyerikan program Santai Retro 2018 yang akan berlangsung di Tanjung Bidara, Masjid Tanah Melaka pada 7 dan 8 April ini.
Pengarah Urusannya Sabrina Taib berkata, penganjuran Santai Retro kini sudah memasuki tahun ke-10 sejak diperkenalkan pada 2008 di dua lokasi utama iaitu Tanjung Bidara, Melaka dan Teluk Kemang, Negeri Sembilan.
“Penganjuran dibuat secara bergilir-gilir dan tahun ini ia akan berlangsung di Melaka. Program ini sebuah perhimpunan motosikal retro klasik era 50-an hingga 90-an dan setiap tahun sambutan amat menggalakkan.
“Sejak awal penganjuran lagi, kami menjemput artis retro sebagai penyeri. Idea ini timbul apabila melihat filem lama yang banyak tampil dengan konsep sebegini. Artis dan konsep retro memang tak dapat dipisahkan,” katanya.
Menurutnya, strategi membabitkan artis dalam program ini menceriakan suasana malah pada sebelah malam orang ramai akan dihiburkan dengan
Serikan Santai Retro 2018 pada 7 dan 8 April ini
persembahan.
Santai Retro kali ini menampilkan artis Khaty Azian, AR Badul, Faizal Hussein, Hatta Junction, Nik Putra, Dwan Olan, Isa Gravity, Malek Zabarjad, Yazid Sejati, Ali Lela, Blank Gamma, Shafie Rio, Fauzi Aisunam, Raymie Febian’s dan Zack Massa.
“Sebenarnya, peminat boleh menonton persembahan secara percuma tanpa bayaran. Namun mereka perlu beli kupon khas bagi layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama motosikal Yamaha TZR 250 3ma.
“Keuntungan kami hanya dibuat menerusi sewaan gerai. Jualan cenderahati akan dibuat dengan sebahagian hasil disumbangkan kepada anak yatim.
“Aktiviti utama adalah perhimpunan motosikal Suzuki Terbesar Malaysia, tetapi motosikal jenama lain juga boleh mengambil bahagian kerana matlamat kami ialah menjalinkan ukhuwah penunggang motosikal,” katanya.
Sabrina berkata, 15 artis yang dipilih diyakini mempunyai ramai peminat setia.
“Kami pernah mengundang artis baru untuk program ini tetapi kurang sambutan daripada peminat. Ini bermakna artis otai mempunyai pengaruh yang hebat untuk program ini.
“Sebelah siang mereka akan berada di gerai melayan pengunjung dan sebelah malamnya pula akan menyampaikan tiga lagu setiap seorang.
“Mereka akan terbabit selama dua hari dan turut dibenarkan menjual produk sendiri,” katanya.
Penyanyi rock otai mengakui mereka amat teruja diberi peluang terbabit kerana Santai Retro.
Dwan Olan berkata, dia berasakan seperti kembali ke era kegemilangan rock apabila beraksi dalam program itu.
“Konsep retro dan sambutan peminat yang hadir buat saya seolaholah berada dalam era kegemilangan muzik rock.
“Ini antara pengalaman manis saya dalam arena seni. Industri automotif dan seni muzik masing-masing ada keistimewaannya,” katanya.
Bagi Hatta Junction pula, acara ini amat ditunggu-tunggu kerana menemukannya dengan rakan seangkatan yang masih aktif dalam industri nyanyian.
Santai Retro 2018 dianjurkan dengan kerjasama JKKK Kampung Balik Batu, Parlimen Masjid Tanah, Japerun Tanjung Bidara, Majlis Perbandaran Alor Gajah dan banyak lagi.