‘Mentang-mentang kulit saya gelap’
Lelaki Cina pegang kad pengenalan sementara sejak 23 tahun lalu
Dilahirkan di Jinjang Selatan di sini namun dia dilabel warga asing kerana memegang kad pengenalan sementara sejak lebih 23 tahun lalu.
Itu dilema dihadapi seorang lelaki, Goh Hock Lai, 39, yang berdepan masalah untuk mendapatkan dokumen pengenalan diri sah, sekali gus membuktikan dia adalah warga negara ini.
“Saya terkilan apabila dilabel seperti warga asing yang tidak memiliki dokumen sah setiap kali (orang ramai atau pihak berkuasa) melihat kad pengenalan saya berwarna hijau.
“Apatah lagi saya berbangsa Cina tapi warna kulit saya gelap,” katanya ditemui ketika membuat aduan di Pejabat MCA Bahagian Cheras, di sini, semalam.
Goh berkata, sepanjang lebih 23 tahun dia terpaksa membuat permohonan semula kad pengenalan sementara sebanyak lima kali sejak menerima dokumen itu ketika berusia 16 tahun.
Katanya, masalah
bermula apabila dia mahu membuat kad pengenalan pada usia 12 tahun namun dimaklumkan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang dokumen diperoleh daripada keluarga angkatnya tidak sah dan perlu membuat sijil kelahiran baru.
“Selepas dilahirkan, saya diserahkan kepada keluarga angkat. Namun ibu bapa angkat meninggal dunia ketika usia saya sembilan tahun menyebabkan kakak angkat yang menguruskan permohonan kad pengenalan ketika usia saya 12 tahun.
“Bagaimanapun, saya dimaklumkan oleh wakil JPN ketika itu yang dokumen diperoleh meragukan, apatah lagi kulit muka saya lebih gelap menyebabkan mereka mengarahkan sijil kelahiran baru dikeluarkan walaupun saya dilahirkan di dalam negara iaitu di Jinjang Selatan,” katanya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata, selepas sijil kelahiran baru dikeluarkan dia diberikan kad pengenalan sementara yang memerlukannya memperbaharui dokumen itu bagi tempoh dua hingga lima tahun sekali bergantung kepada tarikh luput kad berkenaan.
“Disebabkan proses itu, saya berdepan pelbagai masalah termasuk tidak dapat membuka akaun bank dan membuat pinjaman, tidak ada pasport selain terpaksa membayar bil hospital sama seperti warga asing. Malah, kad pengenalan sementara ini menyebabkan orang memandang serong dan ragu-ragu mengenai status sebenar saya.
“Apatah lagi kulit saya gelap tidak seperti orang berbangsa Cina lain yang cerah.
“Usaha untuk memohon status kewarganegaraan kerap ditolak menyebabkan saya buntu. Saya tidak mahu seumur hidup terpaksa memperbaharui dokumen ini dan ibarat merempat di negara sendiri,” katanya.
Sementara itu, Ketua Wanita MCA Bahagian Cheras Heng Sinn Yee berkata, pihaknya akan membantu Goh membuat semula permohonan kewarganegaraan dengan mengemukakan dokumen kepada JPN.
“Kami akan bantu Goh membuat permohonan semula berhubung status kewarganegaraan memandangkan masalah ini menyukarkan kehidupannya sejak lebih 20 tahun lalu.
“Diharap masalah ini diselesaikan dalam masa terdekat bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa akan datang,” katanya.