Tambah 20 rangkaian Domino’s Pizza
Jaya: Dommal Food Services Sdn Bhd, pemegang francais utama Domino’s Pizza bakal meluaskan lagi rangkaiannya dengan membuka 20 cawangan baru sepanjang tahun ini.
Pengurus Besar Kanan (Operasi) Domino’s Pizza Malaysia dan Singapura, Shamsul Amree Ab Rahman berkata, menerusi pembukaan cawangan baru itu, pihaknya optimis mencatatkan pertumbuhan jualan 20 peratus tahun ini.
Katanya, meskipun dalam situasi ekonomi dan pasaran yang perlahan, pihaknya percaya syarikat mampu mencatatkan pertumbuhan lebih baik.
“Tahun lalu, situasi terbabit tidak menghalang kami untuk mencatatkan prestasi baik dan kami turut mencatatkan pertumbuhan yang lebih agresif sejak dua tahun lalu melalui pembukaan cawangan baru,” katanya pada pelancaran Domino’s Pizza Samyeang di sini.
Domino’s Pizza Malaysia adalah pasaran jenama piza Domino’s terbesar di rantau Asia Tenggara dan ia kini membuka 216 cawangan di seluruh negara.
Beliau berkata, pihaknya merancang membuka 20 cawangan baru tahun ini dengan kos pelaburan sebanyak RM500,000 bagi setiap cawangan.
Sementara itu, Domino’s Pizza melancarkan menu terbaru dikenali Domino’s Samyeang Pizza yang diinspirasikan daripada minat rakyat Malaysia terhadap makanan dari Korea.
Menu itu dibahagikan kepada tiga variasi iaitu Piza Tuna Samyeang, Piza Ayam Samyeang dan Piza Daging Samyeang yang dihasilkan khas bagi menawarkan gabungan rasa manis, pedas dan sederhana.
Domino’s Pizza turut memperkenalkan Ayamhaseyo Chicken Wings iaitu sayap ayam yang dibakar dengan salutan luar daripada sos Samyeang.