Balu militan Malaysia ditangkap
Manila: Balu pakar pembuat bom Jemaah Islamiah (JI) warga Malaysia, Zulkifli Hir atau Marwan ditangkap pihak berkuasa Filipina kerana didakwa menyokong pengganas dan memiliki senjata api dan bahan letupan.
Juromee Dongan pernah berkahwin Khadaffy Janjalani, pemimpin kanan kumpulan militan Abu Sayyaf yang terkenal kerana sering menculik warga asing untuk mendapatkan wang tebusan.
Selepas kematian Khadaffy pada 2006, Juromee berkahwin dengan ketua militan dan pakar pembuat bom warga Malaysia, Zulkifli Hir atau Marwan, yang terbunuh di Filipina pada 2015.
Pihak berkuasa menahan Juromee bersama saudara maranya di rumahnya Lanao del Norte, Mindanao dan menemui senjata api, peluru dan bahan membuat bom.
“Juromee membantu dan bersekongkol dengan rangkaian kumpulan pengganas. Juromee dikaitkan dengan Abu Sayyaf ketika bersama Khadaffy dan kemudian menyertai JI,” kata jurucakap polis, Lemuel Gonda.
Menurutnya, dalam dua operasi semalam, polis menahan Juromee, dua adik perempuannya dan bapanya. Semua mereka dipercayai mempunyai kaitan dengan pengganas.
Marwan adalah pemimpin JI dan suspek dalam serangan bom di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang serta dua serangan lagi di Filipina.
Dia maut dalam satu serbuan di selatan Filipina yang turut mengakibatkan 44 komando polis terbunuh.
Amerika Syarikat (AS) sebelum ini menawarkan ganjaran AS$5 juta (RM19.59 juta) untuk menangkapnya. AFP Selepas enam bulan krisis pelarian Rohingya, ratusan etnik itu masih menyeberangi sempadan mencari perlindungan di Bangladesh setiap minggu, melarikan diri daripada dibunuh tentera dan penduduk Buddha di Rakhine.
Antaranya, Nur Mohammad, yang tiba bersama 200 pelarian, menyelamatkan diri selepas beberapa hari perkampungan mereka dikepung penduduk Buddha.
“Mereka membakar rumah, mengurung dan membiarkan kami kelaparan. Perkampungan kami musnah sepenuhnya,” katanya yang berjalan selama beberapa hari ke Bangladesh.
Seorang lagi, Enayetullah, 30, antara 200 pelarian baru Rohingya menyeberang Sungai Naf Jumaat lalu.
Menurutnya, sebahagian besar jirannya sudah meninggalkan perkampungan itu sejak Ogos lalu.
“Kami tinggal dengan harapan keadaan akan kembali pulih. Namun sejak beberapa minggu lalu, pasukan keselamatan datang dan menahan lelaki muda.
“Jika 10 diambil, hanya seorang yang pulang,” katanya.
Enayetullah mendakwa anggota pasukan keselamatan Myanmar membakar kedainya, memaksa dia dan tiga beradik lelaki melarikan diri dari perkampungan Mognapara di Buthidaung.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat melabelkan operasi ketenteraan Myanmar terhadap etnik Rohingya itu sebagai pembersihan etnik.
Kerajaan Bangladesh dan Myanmar sedang berunding kepulangan pelarian terbabit, namun masih belum ada penyelesaian, malah pelarian berterusan memasuki Bangladesh dengan jumlahnya kini dianggar 700,000.
Pertubuhan kebajikan dan pelarian mendakwa ratusan perkampungan Rohingya dibakar dan ribuan etnik itu dibunuh dalam operasi ketenteraan yang didakwa Myanmar bagi menghapuskan pengganas. Myanmar menafikan dakwaan itu, namun enggan membenarkan penyiasat PBB melawat kawasan terbabit. - AFP