Mahu peruntukan khas hidupkan semula sukan air
Putatan: Kementerian Pelancongan diharap dapat memberikan peruntukan khas bagi menghidupkan semula sukan air dan pesta kebudayaan Betitik yang pernah menjadi acara tahunan di daerah ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Yahya Hussin berkata, pihaknya berharap kementerian berkenaan dapat memberikan peruntukan khas bagi menganjurkan kedua-dua sambutan itu sebagai usaha merancakkan lagi sektor pelancongan daerah.
Katanya, usaha itu penting bagi memastikan pelancong terus berkunjung ke daerah ini, sekali gus membantu merancakkan lagi aktiviti perniagaan dan ekonomi daerah untuk kemakmuran masyarakat setempat.
“Dulu daerah ini juga dikenali sebagai pusat sukan air dan pesta budaya Betitik masyarakat Bajau, tetapi penganjurannya dihentikan sejak beberapa tahun lalu kerana tiada peruntukan.
“Sejajar dengan kepesatan pelancongan akhir-akhir ini, kita berharap kerajaan khususnya Kementerian Pelancongan dapat menyediakan peruntukan bagi menghidupkan semula kedua-dua aktiviti itu sebagai produk tarikan pelancongan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina peringkat daerah, semalam.
Hadir sama, Kapitan Cina Putatan Ng Ching Thing dan Kapitan Cina Taman Jumbo Petagas David Lo.
Dalam pada itu, Yahya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Petagas dan Ketua UMNO Putatan berkata, pihaknya akan meminta Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) mempercepatkan kajian pembinaan jejantas merentasi rel kereta api dan jalan raya di depan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Hwa Shiong di sini.
Katanya, kemudahan itu penting bagi mengelakkan kemalangan membabitkan murid sekolah selain memastikan trafik di depan sekolah berkenaan lebih lancar.
“Walaupun ada jejantas berdekatan stesen kereta api Putatan, kedudukannya agak jauh dari sekolah serta menyukarkan murid dan ibu bapa menggunakannya,” katanya.