Pasang lampu isyarat melintas jalan
Kota Kinabalu: Pejalan kaki yang melintas di Jalan Coastal di antara kompleks beli-belah Centre Point dan Asia City di tengah bandar raya ini kini tidak perlu lagi bimbang untuk menyeberang terutama pada waktu puncak.
Ini kerana tinjauan mendapati lokasi yang sering menjadi tumpuan ramai termasuk pelancong asing itu diletakkan lampu isyarat bagi memudahkan pejalan kaki melintas.
Pengarah Jabatan Pengangkutan dan Trafik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) Kalvin Liaw berkata, lampu isyarat itu mula beroperasi 12 Januari lalu melalui inisiatif dilaksanakan Jabatan Kerja Raya (JKR) selepas mengambil kira kes kemalangan membabitkan pejalan kaki di lokasi berkenaan sebelum ini.
“Kita berharap pengguna yang selalu menggunakan jalan itu sama ada pemandu kenderaan atau pejalan kaki mematuhi peraturan dan menggunakan kemudahan disediakan sebaik mungkin supaya tiada lagi kemalangan.
“Bagaimanapun, kita akan melihat semula penggunaan lampu isyarat ini selepas projek pembinaan jejantas Sky Bridge siap sepenuhnya hujung Mac depan.
“Jika lampu isyarat ini tidak menimbulkan kesesakan lalu lintas selepas ini, kita mungkin mengekalkannya di tempat sedia ada sebagai alternatif kepada pengguna jika enggan menggunakan jejantas baru,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini beberapa kemalangan termasuk membabitkan kematian berlaku terhadap pejalan kaki di laluan itu berikutan tiada kemudahan jejantas mahupun lampu isyarat disediakan bagi orang ramai menyeberang dari Centre Point ke Asia City dan sebaliknya.
Sementara itu, pekerja swasta Azlynda Wakiman, 32, berkata, dia selalu menggunakan laluan berkenaan hampir setiap hari untuk ke pejabat di Asia City.
“Sebelum ini saya bimbang untuk melintas kerana kenderaan laju.
“Dengan adanya lampu isyarat ini, ia memudahkan pejalan kaki terutama ibu bapa yang membawa anak kecil untuk melintas dalam keadaan selamat,” katanya.