Harian Metro

LATAH MELAMPAU

- Amir Abd Hamid am@hmetro.com.my

“Kadang-kadang terasa terbeban. Cuma latah ini bukan kehendak saya. Mungkin antara sebab diri saya terpacak di dunia ini adalah untuk menghiburk­an orang,” kata Ahmad Sabri Mohd Dani, 50.

Beliau berkata, dia mengalami gejala latah melampau sejak 10 tahun lalu selepas bermimpi berjumpa arwah seorang bidan di kampungnya di Perak yang juga kuat melatah.

Tabiat latah Ahmad Sabri, bekerja sebagai pemandu peribadi di kilang Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (Proton) itu termasuk bertajuk Viral latah pecah perut 2017 berdurasi empat minit 22 saat tular di Youtube.

Dalam klip itu, Ahmad Sabri ‘berlakon’ seperti menembak dan memegang senapang, berjalan seperti robot dan mengelap kasut hingga mengundang riuh ketawa rakan setugas.

“Saya tak marah kepada sahabat yang merakam aksi ketika melatah. Namun saya mengaku berasa agak malu. Saya bukanlah jenis yang marah orang.

“Niat hati, mahu hiburkan sahabat itu sahaja. Mengenai tular, saya tak tahu siapa yang rakam dan muat naik ke YouTube. Memang ada kawan datang minta maaf. Tetapi saya kata, kalau mereka gembira saya tumpang gembira, tak ada niat nak marah pun,” katanya di rumahnya di Taman Maznah di sini.

Menurutnya, ada rakan mencadangk­an supaya dia mendapatka­n royalti berikutan video aksinya melatah tular di YouTube.

“Memang tak nak pun masuk YouTube. Saya bukan cari makan dalam bab ini walaupun ada cadangkan supaya dapatkan royalti. Difahamkan bayarannya untuk 10,000 penonton adalah AS$1 dan boleh minta daripada pemilik akaun yang memuat naik video. “Tetapi saya takkan minta jika pemilik akaun itu dapat bayaran, itu rezeki dia. Saya takkan minta cuma jika beri saya ambillah,” katanya.

Ditanya bagaimana mengelakka­n nahas akibat melatah ketika memandu, Ahmad Sabri berkhidmat bersama Proton sejak 4 Januari 1993 berkata, setiap kali sebelum memulakan pemanduan dia akan beristighf­ar dahulu.

Kemudian dia akan tekadkan dan menumpukan perhatian kepada pemanduan tanpa mempedulik­an hal lain sehinggala­h selamat tiba di destinasi.

Ketika perbualan bersama Ahmad Sabri atau lebih mesra dipanggil Yob itu, wartawan cuba mengusik untuk melihat secara spontan aksi latahnya.

“Perbuatan mengusik itu yang membuat saya terkejut. Apa kehendak orang di hadapan saya akan ikut secara spontan. Saya ingat (waktu melatah itu), tetapi tak boleh berhenti atau nak kawal.

“Jika nak hentikan perbuatan latah kena lajakkan dahulu pergerakan ke arah lain. Saya ada 18 orang adik-beradik, tapi saya seorang saja yang melatah,” katanya.

Adik kepada pelakon Fadhil Dani, 57, itu berkata, dia tidak pernah ke hospital, menemui pakar kaunseling atau psikologi untuk merawat latah dan menganggap boleh menanganin­ya dengan sendiri.

“Ikutkan memang tak boleh terkejut ketika memandu namun apa saya buat ialah tekadkan dan fokus apa arah kita sebagai pemandu.

“InsyaAllah boleh tahan, cuma jika bunyi hon tiba-tiba pun saya terkejut, mulut saya akan automatik sebut hoonnnnnn dengan panjang dan akan ditegur bos,” katanya yang mempunyai lapan anak.

Sementara itu, isterinya Julia Johan, 48, berkata dia dan anak tidak ‘menyakat’ Ahmad Sabri kerana tidak mahu mengganggu suaminya yang kepenatan selepas pulang daripada tempat kerja.

“Saya pesan kepada anak jangan kacau ayah mereka, di tempat kerja biar kawan-kawannya menyakat, tapi di rumah biarlah suami berehat,” katanya.

Kalau mereka gembira saya tumpang gembira Ahmad Sabri

Pemandu alami gejala latah melampau sejak 10 tahun lalu

 ??  ??
 ??  ?? GELAGAT Ahmad Sabri melatah apabila wartawan mengusikny­a ketika temu bual di rumahnya.
GELAGAT Ahmad Sabri melatah apabila wartawan mengusikny­a ketika temu bual di rumahnya.
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia