Harian Metro

Racun online

- Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Nur Afiradina Arshad am@hmetro.com.my

 Sindiket kopi perangsang seks ubah modus operandi jadikan media sosial untuk menjual

Sindiket menjual kopi perangsang seks diharamkan Kementeria­n Kesihatan Malaysia (KKM) dikesan mengubah modus operandi dengan menjadi saluran media sosial untuk memasarkan kopi maut berkenaan.

Berbanding sebelum ini, sindiket dilihat lebih gemar menjadikan kedai runcit, premis menjual ubat-ubatan tradisiona­l dan restoran sebagai lokasi menjual kopi campuran kimia terlarang itu secara terbuka.

Timbalan Pengarah Cawangan Farmasi Forensik KKM Mazlan Ismail berkata, pihaknya menyedari modus operandi terbaru itu yang giat menggunaka­n laman media sosial bagi memasarkan kopi mengandung­i kimia analog sildenafil atau taladafil itu.

Menurutnya, melalui pemantauan dilakukan pakar di makmal Cawangan Farmasi Forensik, sindiket cuba mengaburi kegiatan melalui perniagaan dalam talian.

“Kebiasaann­ya mereka menggunaka­n pelbagai dakwaan kononnya kopi dijual mampu meningkatk­an kesihatan, menambah nafsu makan, mengatasi masalah mati pucuk dan sebagainya.

“Mungkin mereka sudah serik apabila kilang dan produk haram dijual kerap dirampas pegawai Bahagian PenguatKua­sa Farmasi (BPF) KKM menyebabka­n penjualan melalui dalam talian dianggap lebih selamat.

“Sindiket biasanya akan membuat penghantar­an melalui pos sebaik menerima tempahan dan bayaran daripada pelanggan. Malah dalam beberapa kes, mereka turut membuat penghantar­an hingga ke luar negara menggunaka­n khidmat kurier,” katanya.

Mazlan berkata, pihaknya turut mengumpul data dan melakukan siasatan berhubung aktiviti itu berdasarka­n aduan awam selain risikan dilakukan pegawainya berhubung aktiviti jenayah ini.

“Kami turut bekerjasam­a dengan pelbagai agensi penguatkua­saan lain antaranya Suruhanjay­a Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Kastam Diraja Malaysia (KDRM), makmal Polis Diraja Malaysia (PDRM), Siber Sekuriti dan pelbagai agensi lain untuk membentera­s kegiatan haram itu.

“Mereka mungkin menyangka cukup licik dan sukar dijejaki. Namun pakar jenayah siber di Cawangan Farmasi Forensik ini mampu menjejaki lokasi selain mengumpul bukti untuk pendakwaan di mahkamah.

“Kami bekerjasam­a dengan BPF bagi memastikan dalang sindiket tidak terlepas dari tindakan undang-undang melalui maklumat dikumpulka­n termasuk dengan kerjasama dengan syarikat telekomuni­kasi tempatan,” katanya.

Mazlan berkata, setakat ini sudah ramai peniaga dalam talian dan ahli sindiket ini didakwa di mahkamah dan dijatuhi hukuman mengikut Akta Racun 1952 membawa hukuman denda RM3,000 atau penjara setahun atau kedua-duanya.

Menurutnya, penjualan kopi campuran kimia terlarang ini sama bahaya dengan produk ubat-ubatan tidak berdaftar diseludup dari luar negara yang boleh memberi kesan kepada kesihatan.

“Seperti sedia maklum, kimia sildenafil dan taladafil yang digunakan tanpa pengawasan doktor bertauliah boleh menyebabka­n individu yang memakannya diserang sakit jantung mendadak selain pelbagai kesan buruk antaranya tekanan darah rendah, kerosakan hati, buah pinggang dan gangguan mental,” katanya.

 ??  ??
 ??  ?? ANTARA produk kopi tiruan
yang membahayak­an
kesihatan peminumnya.
ANTARA produk kopi tiruan yang membahayak­an kesihatan peminumnya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia