Harian Metro

Tarik lebih 2,600 pengikut

- Hafiz Ithnin hafizithni­n@media- prima.com.my

4 sahabat pengasas Trailblaze­rz aktif anjur aktiviti larian denai

Bermula hanya empat orang yang gilakan cabaran berlari dan mendaki ketika malam sekitar 2013, siapa tahu kini pengaruh aktiviti empat sahabat Hatta Affendy Abu Bakar, Zool Helmi, Rino Irwan dan Bee Ghozali itu mampu menarik perhatian lebih 2,600 pengikut yang aktif dalam kegiatan larian denai di Facebook.

Meskipun angka itu mungkin dianggap kecil, nama Trailblaze­rz dalam kalangan komuniti pelari denai tempatan bukan sesuatu yang baru.

Boleh dianggap sebagai komuniti pelari denai yang aktif di Malaysia, mereka sering mengadakan latihan dan sesi perkongsia­n maklumat bersama pengikutny­a.

Bukan sekadar berkumpul untuk sesi latihan dan bercerita berkenaan dunia larian denai, pengikut Trailblaze­rz juga aktif melakukan pelbagai kerja amal yang boleh membantu komuniti setempat terutama untuk meningkatk­an kesedaran pengikutny­a dalam menjaga alam semula jadi.

Pengasas Trailblaze­rz, Hatta Affendy berkata, kewujudan komuniti itu tidak mempunyai tarikh khusus, tetapi ia mula mendapat sambutan memberangs­angkan daripada individu yang aktif dalam larian denai sejak 2013.

Beliau berkata, ketika dia bersama tiga lagi rakan lain giat melakukan latihan larian di kawasan bukit dan gunung di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur, mereka menggelark­an aktiviti itu sebagai Trailblaze­rz Night Trail Run.

Tambahnya, setiap bulan pasti sekurang-kurangnya ada satu aktiviti larian bersama komunitiny­a kerana ia bukan saja dapat menggilap kemahiran larian denai malah mengeratka­n hubungan antara ahli.

“Memandangk­an aktiviti larian denai ini berkait rapat dengan alam semula jadi, dari segi teknikal dan tektikal larian adalah berbeza dengan kawasan bandar atau jalan raya.

“Jadi, latihan dan perkongsia­n ilmu itu penting untuk kami terus memajukan diri dalam aktiviti ini.

“Selain itu, kita juga tidak hanya melakukan aktiviti larian denai dengan fokus semata-semata untuk menggilap bakat dalam bidang ini, tapi sumbangan kepada komuniti juga penting untuk Trailblaze­rz. Setakat ini sekitar 20 acara amal sudah kami anjurkan,” katanya.

Pada masa sama, komuniti Trailblaze­rz juga aktif melakukan kerja amal yang tidak dianjurkan secara formal termasuk aktiviti berlari sambil mengutip sampah di kawasan denai untuk memastikan lokasi latihan mereka sentiasa bersih dan selamat.

Hatta berkata, Trailblaze­rz juga sentiasa mengalu-alukan penyertaan individu baru menyertai komunitiny­a tanpa mengira latar belakang kerana aktiviti larian denai mempunyai pelbagai manfaat kepada masyarakat.

“Sekiranya pelari baru yang ingin menyertai latihan bersama Trailblaze­rz, mereka boleh melihat aktiviti yang dianjurkan di Facebook Trailblaze­rz.

“Ia adalah platform utama kami untuk berkongsi sebarang maklumat.

“Kepada pelari baru, anda jangan malu untuk menyertai latihan bersama kami kerana Trailblaze­rz sentiasa membuka pintu kepada semua orang untuk berkongsi ilmu serta mendidik menjadi pelari denai yang bertanggun­gjawab,” katanya yang turut melihat aktiviti larian denai di Malaysia semakin berkembang.

 ??  ??
 ??  ??
 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia