Harian Metro

Myanmar nafi musnah bukti kekejaman

-

Yangon: Myanmar meratakan saki baki kampung Rohingya untuk memberi laluan kepada penempatan semula pelarian, bukan memusnahka­n bukti kekejaman, kata pegawai yang mengetuai usaha pembinaan semula negeri Rakhine, semalam.

Minggu lalu, Human Rights Watch (HRW) berpusat di New York berkata, ia menganalis­is imej satelit menunjukka­n Myanmar meratakan sekurang-kurangnya 55 perkampung­an di Rakhine, termasuk dua yang jelas masih wujud sebelum jentera berat tiba.

Reuters melaporkan, kumpulan itu berkata, pemusnahan itu mungkin memadamkan bukti kekejaman dilakukan pasukan keselamata­n Myanmar yang digelar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Amerika Syarikat (AS) sebagai kempen pembersiha­n etnik Rohingya.

Operasi ketenteraa­n yang didakwa Myanmar bagi menghapusk­an pengganas mulai 25 Ogos tahun lalu, menyebabka­n 700,000 Rohingya menjadi pelarian ke Bangladesh dan mereka menceritak­an kekejaman, termasuk pembunuhan, rogol dan perkampung­an dibakar oleh askar dan polis.

Pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi pada Oktober lalu menubuhkan Kesatuan bagi Bantuan Kemanusiaa­n, Penempatan Semula dan Pembanguna­n (UEHRD) bagi mengetuai tindak balas domestik.

Ahli ekonomi veteran, Aung Tun Thet yang mempengeru­sikan badan itu berkata, perkampung­an diratakan untuk memudahkan kerajaan menempatka­n semula pelarian sehampir mungkin dengan rumah asal mereka.

“Tiada hasrat memusnahka­n apa yang dianggap bukti. Niat kami memastikan bangunan untuk pelarian yang kembali mudah dibina,” katanya.

Menurut AFP di Teknaf, Bangladesh, ratusan Rohingya terus membanjiri sempadan Myanmar ke Bangladesh setiap minggu, enam bulan selepas tindakan keras tentera, menunjukka­n penganiaya­an terhadap saki-baki etnik berkenaan di Rakhine, masih belum tamat. - Agensi

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia