‘GANTI’ NEYMAR TIGA BULAN
Di Maria sandaran PSG selepas kehilangan bintang Brazil
Biarpun kecederaan Neymar memberi tamparan hebat buat Paris Saint-Germain, ia memberi peluang keemasan buat Angel di Maria dan pemain lain dalam skuad mewah itu.
Neymar bukan saja terlepas aksi PSG pada aksi kedua 16 terakhir Liga Juara-Juara menentang Real Madrid minggu depan, malah pemain termahal dunia juga tidak akan diturunkan sepanjang baki musim ini apabila doktor yang mengendalikan pembedahan tulang kakinya di Brazil berkata, dia tidak boleh bermain selama tiga bulan.
Ini bermakna tanpa pemain berharga 222 juta euro (RM1.06 bilion) yang tiba di Brazil hari ini untuk pembedahan pada Ahad, PSG perlu cuba mengatasi defisit 1-3 pada perlawanan pertama menentang Madrid, selain menyapu bersih gelaran domestik.
Bagaimanapun, pemain yang mendapat manfaat daripada insiden itu adalah Di Maria, pemain yang menjadikan PSG sebagai pencabar Liga Juara-Juara apabila dibeli daripada Manchester United pada harga 63 juta euro (RM303 juta) pada 2015.
Pemain Argentina itu mungkin bukan lagi pilihan utama jurulatih Unai Emery, namun dia masih pemain terbaik pasukan pada 2018, yang beroleh manfaat setiap kali ketiadaan Neymar, Kylian Mbappe dan Edinson Cavani.
Dua jaringan ketika menewaskan Marseille 3-0 pada aksi suku akhir Piala Perancis bermakna Di Maria menjaringkan 12 gol daripada 13 aksi sebagai kesebelasan utama pada 2018. “Dia kurang berkeyakinan, tetapi dia adalah pemain yang mampu mengubah rentak perlawanan pada bila-bila masa,” kata Marco Verratti mengenai bekas pemain sayap Real Madrid itu.
“Dia bukannya pemain yang baru saja kami temui. Banyak perkara hebat yang dilakukannya sepanjang karier.”
PSG berkunjung ke Troyes hujung minggu ini dengan dengan kelebihan 14 mata berbanding Monaco dalam Ligue 1, Emery perlu bersiap sedia sebelum perlawanan menentang Real.
“Kami akan rindukan Neymar, tetapi pasukan bersiap sedia untuk bermain tanpanya,” kata Emery yang turut kehilangan Mbappe yang dikeluarkan pada separuh masa kedua ketika berdepan
Marseille.