Atlet ambil sibutramine boleh dihukum sehingga dua tahun
Kuala Lumpur: Tersenarai dalam kategori ‘Specified Substance’ membolehkan penggiat sukan yang mengambil sibutramine boleh dikenakan hukuman maksimum selama dua tahun, atau dengan kadar lebih rendah.
Berbanding dengan penggunaan ‘Non Specified Substance’ iaitu bahan terlarang yang bertujuan meningkatkan prestasi seperti steroid dikenakan hukuman maksimum empat tahun.
Perkara itu termaktub di dalam Kod Anti Doping Dunia 2015, yang secara amnya dilihat lebih fleksibel dan menghukum penipu sebenar serta bersifat lebih adil, berbanding Kod pada 2009 yang mengenakan hukuman maksimum dua tahun tanpa mengira jenis bahan terlarang.
Penolong Pengarah Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS), Nishel Kumar menjelaskan pendekatan itu antara diguna pakai Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) bagi menentukan tempoh hukuman terhadap penerjun negara, Wendy Ng Yan Yee.
“Mengikut Kod Anti Doping Dunia 2015, segala kesalahan anti doping akan dikenakan hukuman selama empat tahun, namun penilaian berdasarkan bahan terkandung dan jika ia steroid sudah pasti penggantungan empat tahun.
“Tetapi sibutramine berada di dalam Specified Substance yang memperuntukkan hukuman maksimum selama dua tahun manakala hukuman minimum adalah amaran keras.
“Ini kerana Specified Substance berada dalam kategori bahan-bahan yang bukan bertujuan meningkatkan prestasi tetapi boleh membahayakan kesihatan,” kata Nishel kepada pemberita ketika dihubungi, hari ini.
Kelmarin, Kesatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM) mengesahkan Yan Yee hanya dikenakan penggantungan selama lapan bulan menerusi kiriman emel yang dihantar FINA kepada badan induk itu.
Mengulas lanjut, Nishel berkata Yan Yee hanya dikenakan penggantungan oleh FINA selama lapan bulan berkuatkuasa pada 26 Ogos 2017 sehingga 26 April depan kerana atlet itu membuktikan bagaimana bahan itu berada di dalam badan. Jelasnya penerjun berkenaan turut membuktikan dirinya tidak sengaja selain mempunyai rekod bersih sebelum ini sekali gus menjadikan tempoh penggantungan selama lapan bulan.
“Berbanding kes atlet yang didapati terpalit dengan doping kerana menggunakan steroid, ia dikelaskan untuk penggantungan selama empat tahun walaupun membuktikan mereka tidak sengaja,” katanya.