Harian Metro

Lambaian Kaabah penggiat seni

-

Hari ini genap sebulan 23 penggiat seni kita kembali ke tanah air selepas menunaikan umrah. Belum pun kebah lambaian Kaabah di mata, program kedua penggiat seni ditaja lagi ke Makkah April ini.

Pengumuman itu dibuat Pengerusi Yayasan Perdana Ummah (YPU), Datuk Rizal Mansur selaku penganjur yang bertanggun­gjawab merealisas­ikan hasrat dan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memberi peluang kepada penggiat seni yang tidak pernah menjejak kaki ke Tanah Suci Makkah dan Madinah merasainya sekali seumur hidup.

Kita maklum mutakhir ini pelakon dan penyanyi ke Tanah Suci itu biasa, terutama artis yang ‘naik daun’, artis duta produk itu dan ini, namun harus diingat kemampuan artis itu berbeza.

Ada yang kaya seperti Neelofa tidak terkecuali ramai juga yang berpura-pura kaya. Bidang glamor diceburi menuntut mereka yang berpura-pura kaya untuk biar papa asal bergaya.

Rombongan pertama penggiat seni yang menjadi tetamu Allah bermula 26 Januari hingga 6 Februari lalu cukup beruntung kerana mereka dilayan begitu istimewa dengan menaiki penerbanga­n nasional MAS kelas perniagaan, menginap di hotel eksklusif di Makkah, disediakan ‘pembantu’ untuk menolak kerusi roda (sembilan penggiat seni) sewaktu bertawaf dan bersai, diberi wang saku serta mendapat kad khairat kematian daripada Darul Jenazah sah laku antara 15 Januari 2018 hingga 14 Januari 2019.

Sejajar dengan tagline Urus Jenazah Tanpa Tunai, dalam tempoh itu jika berlaku kematian pada penggiat seni yang menunaikan umrah tempoh hari segala kos akan ditanggung.

Selain YPU, program Umrah Penggiat Seni ini mendapat kerjasama daripada Yayasan Mustika Kasih (YMK) dan Pejabat Penasihat Perdana Menteri, sementara pelepasan tetamu Allah itu disempurna­kan Penasihat Perdana Menteri, Profesor Datuk Seri Khairil Annas Jusoh.

Artis termuda terpilih ialah penghibur Shima (Kunazhatul­shima Kamarazzam­an), 49 tahun, dan paling senior pelawak, Hamid Gurkha (Abdul Hamid Abdul Rahman), 84 tahun.

Penulis dipilih untuk turut serta rombongan pertama penggiat seni ke Tanah Suci, nyata sekali majoriti mereka megah dan bangga kerana dihargai kerajaan.

Timbul persepsi apa istimewany­a penggiat seni? Disedari atau tidak apabila penggiat seni itu warga emas (tiada pendapatan), majoriti dilayan bak ‘al-quran buruk’ lalu

value mereka mulai merudum di mata masyarakat.

Sebaliknya, katakan jika tiada penggiat seni kita sama ada pelakon, penyanyi dan penulis tidak menyumbang sesuatu kepada tanah air di era kemuncak mereka dulu, apakah jiwa generasi hari ini boleh dekat dengan ras mereka sendiri?

Era 70-an cukup getir buat penggiat seni selepas dua studio gergasi tempat seniman dan seniwati kita cari makan, Cathay Keris dan Shaw Brothers di Singapura tidak berselera untuk menerbitka­n filem Melayu lalu membiarkan artis kita terkapai-kapai memikirkan untung nasib mereka.

Pawagam pula dimonopoli filem Hindustan, Hollywood, Hong Kong dan Indonesia. Bidang nyanyian terpalit tempias apabila idola remaja kita lebih terarah menjadi D’Lyod, The Mercy, Emilia Contessa dan Broery Marantika.

Mujurlah ada Sharifah Aini (Datuk, Allahyarha­m), Hail Amir, Uji Rashid dan DJ Dave (Datuk) untuk mengimbang­i populariti itu.

Di televisyen disogok pula aksi Vic Morrow (Combat), Lee Majors (The Six Million Dollar Man), Jack Lord (Hawaii Five O) dan Lindsay Wagner (Bionic Women).

Berbeza kini peminat tempatan lebih dekat dengan Zul Ariffin, Syamsul Yusof, Janna Nick, Maya Karin, Farid Kamil (Datuk) dan ramai lagi.

Semuanya tidak akan terjadi tanpa projek penswastaa­n drama era 80-an untuk menambat selera penonton/peminat tempatan mencintai penggiat seni sendiri.

Impaknya jelas kini stesen tempatan sama ada dari kumpulan Media Prima, RTM (Radio Televisyen Malaysia), Astro dan TV Hijrah, boleh dikatakan 90 peratus pengisiann­ya produk tempatan.

Acapkali pilihan raya umum (PRU), apatah lagi kita kini menanti detik Parlimen dibubarkan bagi menghadapi PRU14, keringat penggiat senilah dipertaruh­kan calon wakil rakyat pelbagai parti untuk menarik ramai penonton sebelum calon berkempen untuk menarik pengundi.

Di sini lain, bidang penggiat seni itu tidak sama dengan penjawat awam yang mempunyai pencen untuk menampung hari tua.

Natijahnya, program umrah penggiat seni ini boleh diterjemah­kan sebagai tanda terima kasih kerajaan kepada golongan itu sejajar dengan pegangan bijak pandai Melayu dulu, jika orang berbudi kita kenalah berbahasa.

 ??  ??

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia