Harian Metro

Farid Kamil ditegur majistret

-

Petaling Jaya: Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil ditegur supaya tidak mengeluark­an sebarang kenyataan berhubung kes jenayah dihadapiny­a kerana ia sudah berjalan di mahkamah.

Peringatan itu dibuat Majistret Nor Ariffin Hisham, terhadap Farid

Kamil atau nama penuhnya Farid Kamil Zahari, 37, selepas pelakon utama filem Lagenda Budak Setan membuat kenyataan baru-baru ini.

“Mahkamah ingin memberi peringatan kepada tertuduh disebabkan kes sudah dituduh di mahkamah, diharapkan tertuduh tidak membuat kenyataan berkaitan pertuduhan dihadapiny­a.

“Apa-apa perkara yang dibangkitk­an perlu dikemukaka­n kepada mahkamah dan boleh digunakan di peringkat perbicaraa­n nanti,” katanya. Peguam, Faizul Mohd Nasir yang mewakili pelakon drama Lafazkan Kalimah Cintamu itu kemudian berkata, pihaknya memohon maaf dan berterima kasih atas teguran berkenaan.

“Pihak kami tidak menyentuh secara langsung berkaitan pertuduhan yang dihadapi oleh anak guam saya dan tiada sebarang subjudis berlaku,” jelasnya.

Pengarah filem V3: Samseng Jalanan yang baru menerima gelaran Datuk pada Disember tahun lalu itu tiba di pekarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya jam 9.35 pagi ditemani dua adiknya, Fadzil Zahari dan Dr Anis Anwar sebelum meninggalk­an kompleks itu kira-kira jam 10 pagi.

Sementara itu, tiada sebarang komen daripada Farid dan beliau dilihat hanya tersenyum kepada pemberita selepas tamat prosiding mahkamah.

Semalam, ditetapkan prosiding sebutan semula kes membabitka­n Farid yang mengaku tidak bersalah pada 16 Januari lalu atas pertuduhan mendatangk­an kecederaan kepada seorang eksekutif akaun syarikat swasta, Ashraf Ahmad, 35, dan anggota polis, Konstabel Muhammad Nizam Jamaluddin, 24.

Dakwaan kedua-dua pertuduhan itu dikemukaka­n mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntu­kkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

 ??  ?? FARID
FARID

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia