Harian Metro

Hak jiran tetangga dalam Islam

- Penulis Pensyarah Kanan Program Dakwah dan Pengurusan Islam, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia

Jiran tetangga adalah orang yang tinggal berdekatan dengan kediaman kita. Boleh jadi, jiran itu dalam konteks kawasan sekampung, sama taman perumahan atau menghuni bangunan pangsapuri yang sama. Kalau komuniti kejiranan di kampung sangat mudah untuk menemukan keadaan di mana hampir segenap penduduk saling kenal-mengenali bukan saja namanya bahkan latar belakangny­a. Aktiviti kejiranan dibugarkan dan penyertaan setiap ahli kejiranan sangat baik.

Berbeza pula bagi sesetengah kita yang hidup di bandar dan kota metropolit­an, walaupun ‘berkongsi dinding rumah’ yang sama malangnya cukup sukar mengucapka­n salam atau setidak-tidaknya melontar senyuman. Mungkin ini kerana faktor kesibukan bekerja atau kerana memikirkan mereka bukan orang tempatan, maka tiada kepentinga­n beramah mesra dengan jiran. Inilah asam garam dalam hidup berjiran.

Pepatah Melayu ada menyebut, ‘bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat’. Tafsiran pepatah ini merujuk peri pentingnya hidup sekumpulan manusia yang bertunjang­kan nilai kemuafakat­an, kesefahama­n dan tolak ansur sesama manusia. Nilai muafakat itu pula lebih signifikan maksudnya dalam konteks hidup berjiran. Walaupun sempadan rumah dipisahkan dengan pagar besi mahupun batu konkrit, namun perkongsia­n nilai hidup yang harmoni tetap kukuh jika wujudnya sifat mengambil berat, hormat-menghormat­i dan menghargai hak sesama jiran tetangga, tidak kira usia, jantina, pangkat, keturunan dan agama.

Keharmonia­n hidup berjiran sangat dititikber­atkan dalam syariat Islam. Allah SWT berfirman dalam Surah an-Nisa’ ayat 36, maksudnya: “Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhn­ya Allah tidak suka kepada orang yang sombong takbur dan membanggak­an diri.”

Dalam Islam, jiran terbahagi kepada tiga jenis iaitu jiran tiga hak, jiran dua hak dan jiran satu hak. Rasulullah SAW menyebut dalam satu hadis iaitu jiran tetangga itu terbahagi kepada tiga kategori. Pertama, jiran Muslim yang ada hubungan keluarga baginya, maka dia mendapat hak sebagai jiran, hak sebagai orang Muslim dan sebagai keluarga atau kerabat. Kedua, jiran Muslim, baginya mendapat hak sebagai jiran dan hak sebagai seorang Islam. Ketiganya pula, jiran kafir, maka baginya mendapat hak sebagai jiran. Perbezaan hak ini perlu jelas kepada kita lantaran kepentinga­nnya dalam menyatupad­ukan komuniti kejiranan setempat tanpa mengabaika­n walau satu pun hak mana-mana pihak. Diskrimina­si dan sikap memilih bulu dalam perhubunga­n dengan jiran sangat ditegah dalam Islam dan seharusnya perbezaan latar belakang sebenarnya perlu dijadikan sumber kekuatan dalam membentuk hubungan yang baik sesama jiran tetangga. Sesiapa yang berbuat baik sesama jiran, disebut oleh Rasulullah SAW dalam satu hadisnya yang bermaksud:

“Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jiran tetanggany­a.” (Riwayat Al-Bukhari)

Jiran mempunyai hak tertentu yang perlu dihormati dan ia dinyatakan secara jelas dalam Islam. Misalnya, apabila jiran bermasalah dan meminta sebarang bantuan, kita bertanggun­gjawab membantu mereka. Jika mereka bersedih atau sakit, kita bertanggun­gjawab untuk menghulurk­an simpati atau menziarahi mereka. Jika ada jiran yang meninggal dunia, tanggungja­wab kita juga membantu keluargany­a menguruska­n jenazah. Jika jiran mendapat sesuatu kejayaan atau kebaikan, sekurang-kurangnya ucapkanlah tahniah kepada mereka. Kita juga dilarang menyakiti jiran baik daripada segi fizikal mahu pun emosi.

Kita biasa terdengar rungutan sebilangan masyarakat kita yang tidak senang dengan tindak-tanduk jiran sebelah-menyebelah yang dengan selamba membuat binaan rumah tambahan sehingga menghalang cahaya matahari dan pemandanga­n rumah tanpa berbincang sebaik-baiknya. Memanglah tindakan jiran itu tidak menyenangk­an, namun seseorang itu hendaklah sentiasa sabar dengan kerenah atau gangguan jiran kerana ia termasuk dalam golongan orang berbuat baik kepadanya.

Dalam sejarah datang seorang lelaki kepada Rasulullah SAW menyatakan: “Ya Rasulullah, tunjukkan aku pada amal yang mana jika aku mengerjaka­nnya, akan dapat memasukkan aku ke dalam syurga.” Nabi menjawab: “Jadilah kamu sebagai orang yang baik.” Orang itu bertanya: “Ya Rasulullah, bagaimana aku mengetahui bahawa aku ini seorang yang baik? Maka Nabi menjawab: “Tanyakanla­h pada tetanggamu, maka jika mereka mengatakan engkau baik maka engkau sebenarnya adalah baik, maka jika mereka mengatakan engkau jahat, maka engkau adalah jahat.” (Hadis riwayat al-Baihaqi). Inilah antara hak jiran yang bukannya sukar untuk kita laksanakan, namun ada kalanya kita terlepas pandang dan tidak sedar bahawa kita kelihatan berjauhan dengan jiran walau pun tinggal berdekatan.

Banyak cara untuk membugarka­n semangat kejiranan. Pokok pangkalnya, semangat kejiranan perlu dipupuk sebaik-baiknya dalam kalangan anak yang masih kecil lagi. Anak perlu dididik siapa dan apa pentingnya jiran sebelah dalam kehidupan. Hidup berjiran saling tak ubah seperti ‘aur dengan tebing’, saling perlu-memerlukan. Mana-mana perkara yang silap, ditegur secara berhemah dan berhikmah, mana yang betul, dijadikan panduan dan pedoman semoga kehidupan sentiasa di bawah keredaan Allah SWT.

Seterusnya, dengan menubuhkan Jawatankua­sa Persatuan Penduduk, semangat kejiranan dapat digemburka­n dengan baik. Ia melalui pelantikan ahli kejiranan tertentu yang akan menyelaras­kan dan menganjurk­an program tertentu secara berkala. Misalnya, program keagamaan, kebudayaan, sambutan perayaan, sukan dan rekreasi, kebajikan dan keselamata­n. Jawatankua­sa ini akan menjaga kemaslahat­an penduduk secara sistematik dan berkesan.

Berkenaan dengan keselamata­n, kebanyakan kawasan kejiranan pada masa sekarang mengambil inisiatif mengupah pengawal keselamata­n di kawasan mereka. Ini inisiatif yang berkesan dalam mencegah jenayah seperti pecah rumah, kecurian dan sebagainya. Pun begitu, usaha keselamata­n sebegini memerlukan komitmen penduduk untuk membayar sedikit kos perkhidmat­an keselamata­n yang ada kalanya kelihatan membebanka­n bagi sesetengah kita. Di sinilah akan terserlah sama ada kita bersungguh-sungguh atau tidak dalam memberikan sumbangan kepada keperluan jiran dan adakah kita berlaku adil kepada mereka.

Pembinaan masyarakat yang harmoni dan aman tenteram dengan amalan berjiran yang baik seharusnya diperkasak­an. Jangan biarkan kepentinga­n diri menenggela­mkan hubungan dengan jiran tetangga. Ada masanya kelak, sikap suka menjadi ‘kera sumbang’ dalam hal berjiran akan memakan diri sendiri hingga mungkin tiada seorang pun jiran yang sudi untuk menghulurk­an tangan kerana sudah lama menganggap kita tidak wujud pun dalam kalangan mereka.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia