Harian Metro

Usah layan!

- Murni Wan Omar news@nstp.com.my

 Sindiket penipuan guna nama mahkamah minta masuk wang dalam akaun pihak ketiga

Orang ramai digesa tidak mudah terpedaya dengan sindiket penipuan menggunaka­n nama mahkamah tertentu berkaitan kes saman atau perwarisan harta yang meminta sejumlah wang dipindahka­n ke akaun pihak ketiga bagi membuktika­n mereka tidak bersalah.

Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutua­n, Datuk Seri Latifah Mohd Tahar berkata, pihaknya mendapati ada sindiket yang menggunaka­n nama mahkamah dan Istana Kehakiman cuba menipu orang ramai dengan menghantar dokumen palsu melalui e-mel atau aplikasi WhatsApp serta membuat panggilan telefon secara rambang.

Menurutnya, kegiatan tidak bertanggun­gjawab itu mula dikesan pertengaha­n tahun lalu dan sehingga kini sembilan laporan polis sudah dibuat.

“Contoh penipuan yang paling kerap dilakukan adalah melalui dokumen palsu. Mahkamah didakwa mengeluark­an Perintah Penangkapa­n dan Perintah Pembekuan menurut Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 serta Akta Dadah Berbahaya 1952 yang meminta mangsa merahsiaka­n kes jenayah bagi mengelakka­n gangguan ke atas siasatan polis.

“Melalui dokumen itu, mangsa diminta memindahka­n aset kepada Jabatan Audit Negara bagi membuktika­n mereka tidak bersalah. Dokumen itu menggunaka­n kepala surat seakan-akan kepala surat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutua­n Malaysia (PKPMP) sendiri,” katanya ketika sidang akhbar di Istana Kehakiman di sini.

Menurutnya, dokumen palsu itu turut ditandatan­gani secara digital oleh Timbalan Pendaftar 1 (Operasi) Sabariah Othman dan Ketua Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaysia, Istana Kehakiman, Dora Anak Undau, sedangkan ia tidak benar selain menggunaka­n jata rasmi Malaysia.

“Kini mereka juga membuat penipuan melalui panggilan palsu iaitu menggunaka­n talian am mahkamah (nombor paparan pada telefon bimbit mangsa adalah 03-88803500) mengatakan mereka berhutang sejumlah wang dan perlu hadir ke mahkamah, mendakwa waran tangkap sudah dikeluarka­n serta meminta sejumlah wang dipindahka­n kepada pihak ketiga.

“Kes terbaru berlaku pada 5 Mac lalu apabila mangsa menerima panggilan daripada nombor 03-88804069 mendakwa pemanggil adalah kakitangan Mahkamah Rayuan dan meminta mangsa membuat bayaran untuk menyelesai­kan kes pinjaman perumahan,” katanya.

Beliau menegaskan, PKPMP tidak akan sewenang-wenangnya membuat panggilan telefon secara rambang dan menghantar dokumen palsu melalui e-mel dan aplikasi WhatsApp kepada orang ramai.

“Pejabat ini memandang serius mengenai perkara ini dan ingin menasihatk­an orang awam supaya berhati-hati dan mengelakka­n diri daripada menjadi mangsa penipuan serta segera membuat laporan polis.

“Sebarang pertanyaan atau semakan, orang ramai boleh menghubung­i Unit Komunikasi Korporat PKPMP, melalui e-mel komunikasi­korporat@kehakiman.gov.my, talian rasmi pegawai aduan 03-88803663 atau layari portal rasmi kami,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia