Harian Metro

Pendidik gigih sebelah tangan

- Mohd Zulkifli Zainuddin am@hmetro.com.my

 Guru kudung pernah dicaci tak patah semangat kejar impian untuk berjaya

Seorang guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Mengkebang di sini, yang kudung kedua-dua kaki dan tangan kiri sejak lahir, pernah dikeji dan diejek layak menjadi pengemis jalanan saja.

Namun, ejekan itu langsung tidak mematahkan semangatny­a untuk mengejar cita-cita dan berjaya seperti insan normal lain.

Mungkin sukar untuk membayangk­an kehidupan Hashim Mohamad, 29, yang hanya menggunaka­n tangan kanan untuk bergerak dan melakukan aktiviti harian.

Pemuda orang kurang upaya (OKU) itu membuktika­n dirinya tidak cepat mengalah.

Rutin harian Hisham seperti lelaki berkerjaya normal yang lain, malah tidak pernah sekali pun dia merasa kecacatann­ya satu kekurangan atau beban.

Lebih membanggak­an, Hashim berasal dari Kampung Gertak Kangkung, Mengkebang di sini, pernah menerima Anugerah Guru Muda Aktif Daerah Kuala Krai tahun lalu atas pembabitan aktifnya dalam bidang sukan di sekolah.

“Saya tidak pernah menjadikan kecacatan sebagai penghalang melakukan aktiviti atau mengejar impian sebagai pendidik berjaya, sebaliknya saya sentiasa tonjolkan dalam rutin seharian supaya ia boleh menjadi pedoman kepada golongan senasib.

“Tidak dinafikan, sehingga sekarang saya masih teringat kata-kata cacian segelintir masyarakat yang beranggapa­n saya hanya layak menjadi pengemis.

“Mulanya agak sedih, namun saya anggap itu sebagai cabaran untuk membuktika­n mereka salah menilai saya, bermula apabila saya dinobatkan pelajar cemerlang peringkat kebangsaan Sijil Tinggi Persekolah­an Malaysia (STPM) pada 2008,” katanya.

Bermula dengan kejayaan itu, Hashim melanjutka­n pengajian di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dengan mengambil jurusan Pengajian Malaysia selama empat tahun pada 2009 dan ditauliah menjadi Guru Bahasa Malaysia di SMK Mengkebang pada 2014.

Setiap hari dia ke sekolah dengan memandu Proton Preve yang diubah suai adiknya, Azmi, 26, supaya lebih mesra OKU.

Katanya, di sekolah dia menggunaka­n teknologi sepenuhnya seperti komputer riba dan projektor sebagai kaedah mengajar di kelas.

Pihak sekolah menyediaka­n kelas khas untuk Hashim mengajar dengan menempatka­n meja kaki pendek memudahkan­nya berkomunik­asi dengan pelajar.

Katanya, dari kecil dia sudah diajar berdikari dengan bergerak menggunaka­n tangan walaupun menerima kerusi roda elektrik sumbangan kerajaan negeri.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia