Teringin nak ke sekolah
Alor Setar: “Saya pun teringin nak pakai baju sekolah dan pergi ke sekolah bersama kawan,” kata Muhammad Yusrizal Abdullah, 8, yang masih tidak dapat bersekolah akibat masalah kewarganegaraan dihadapinya.
Walaupun bapanya, Nor Mohd Yusri Yusof, 30, seorang warga negara Malaysia namun disebabkan dia berkahwin dengan wanita Indonesia di Songkhla, Thailand, dua daripada tiga anaknya menghadapi masalah mendapat kerakyatan di sini.
Muhammad Yusrizal dan adiknya, Muhammad Nor Yusdanial Abdullah berusia tiga tahun berstatus warga Indonesia namun seorang lagi adiknya, Muhammad Yusnizam Akmal Nor Mohd Yusri, 5, berjaya didaftarkan sebagai warga negara.
Sementara itu, Nor Mohd Yusri berkata, masalah timbul selepas dia dan isteri, Dewi berkahwin di Songkhla pada 2009 dan tidak mendaftarkan perkahwinannya di negeri berkenaan.
“Sebelum ini, isteri saya bekerja sebagai tukang cuci di Pulau Pinang dan kami kemudian mengambil keputusan untuk berkahwin.
“Saya terpaksa berkahwin di negara jiran kerana ketika itu pasport isteri dipegang majikannya dan menyukarkan urusan untuk berkahwin di sini,” katanya.
Bagaimanapun, katanya, masalah timbul apabila anak sulungnya gagal didaftarkan sebagai warga negara kerana tidak memiliki dokumen perkahwinan ketika membuat pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Cuma anak kedua saja dapat didaftar sebagai warga negara apabila saya sudah memiliki dokumen perkahwinan selepas ke Songkhla semula untuk mengambil surat dari pejabat Konsulat Malaysia Songkhla bagi membuktikan saya sudah berkahwin.
“Namun saya sekali gagal mendaftarkan kerakyatan anak ketiga apabila pihak JPN memberitahu kami perlu mengikut prosedur baru iaitu menyediakan pasport asal isteri dan beberapa dokumen lain,” katanya.
Nor Mohd Yusri berkata, akibatnya dia tidak dapat menyediakan dokumen itu kerana pasport isterinya masih dalam simpanan bekas majikannya.