GALAS MASA DEPAN ANAK AUTISME
Mukhreez dilahirkan dengan autisme.
Sekitar 1995, perkataan ‘autisme’ bukanlah perkara yang diketahui umum dan ia juga kedengaran janggal pada telinga pasangan ini, malah seboleh-bolehnya ingin mendapatkan ubatan atau rawatan terbaik untuk anak mereka.
“Selepas terpaku beberapa detik, soalan pertama yang keluar daripada mulut saya adalah, apakah ubatan terbaik untuk merawat penyakit anak ini?
“Ketika itu, autisme bukanlah isu kesihatan ‘popular’ seperti hari ini dan masyarakat juga peka dengan masalah ini. Saya sangka autisme adalah penyakit yang boleh diubati, ruparupanya ia adalah kecacatan kekal sepanjang hayat. Kali kedua, saya tersentak dengan penerangan doktor.
“Tidak dinafikan rasa kecewa menguasai diri apatah lagi memikirkan masa depan yang bakal diharungi anak kelak.
“Syukur, saya dianugerahkan isteri yang sangat memahami dan menyokong, malah dia banyak memainkan peranan meringankan bebanan saya dalam pengurusan anak,” katanya ketika ditemui.
Ditemani isteri yang mengakui bahawa, Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (NASOM) ini individu yang sensitif dan air matanya cukup murah saat membicarakan perihal anak istimewanya.
Bagi memperjuangkan nasib anaknya, Megat Shahrani bangkit sebelum dipertemukan dengan NASOM.
Seakan-akan mendapat motivasi, pasangan ini menyedari bukan hanya mereka terkesan dengan masalah berkenaan, ramai lagi ibu bapa yang memiliki anak istimewa seperti Megat Mukhreez.
Mengusahakan syarikat pembinaan sendiri bukanlah penghalang buat lelaki berusia 61 tahun ini melapangkan masa untuk aktif menyertai program anjuran NASOM di Taman Cempaka, Ipoh, Perak.
“Apabila bergerak sebagai persatuan, dana antara isu utama perlu dihadapi dalam menjayakan sesuatu program atau menyelesaikan masalah lain. Keadaan pusat NASOM Ipoh yang kecil dan sempit menyukarkan anak ini belajar.
“Rezeki perniagaan yang Allah SWT berikan kepada saya, mungkin satu kelebihan untuk dikongsikan bersama anak istimewa. Justeru, kami membeli kabin dilengkapi penyaman udara untuk dijadikan kelas tambahan bagi anak ini.