Pakai hijab berlandas syariat
Sebagai seorang Islam, sejak kecil kita lihat ahli keluarga atau kawan Muslim bertudung. Di rumah atau sekolah juga kita dididik untuk bertudung.
Pendek kata, tudung dengan Islam itu sangat sinonim sehinggakan ada umat Islam yang belum memakai tudung pun tahu, tuntutan menutup kepala itu wajib.
Pada hari ini, pelbagai jenis tudung dijual di pasaran. Semua itu sangat memudahkan wanita menutup aurat.
Namun begitu, koleksi tudung yang ada di pasaran hari ini didapati semakin jauh daripada prinsip bertudung mengikut syariat.
Sebagai Muslimah, cuba tanya diri kenapa kita bertudung? Adakah Allah SWT reda tudung yang dipakai itu?
Cuba kita imbas sejarah, wanita dipandang hina dan hanya dijadikan tempat melempiaskan hawa nafsu.
Pada zaman jahiliah, kelahiran bayi wanita dianggap sial. Bayangkan betapa hinanya wanita ketika itu, tetapi selepas hadirnya cahaya Islam, wanita dimuliakan dengan setinggitinggi kemuliaan.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan adalah wanita solehah.” (HR Muslim)
Begitulah hebatnya Islam yang sangat berbangga dengan kehadiran wanita. Banyak hadis yang mengangkat kedudukan wanita, malah dalam al-Quran juga terdapat surah khusus iaitu surah an-Nisa’ dengan makna wanita.
Subhanallah! Begitulah tingginya kemuliaan wanita selepas hadirnya Islam. Sewajarnya kita sebagai wanita harus bersyukur dengan mengikuti perintah yang disyariatkan Islam.
Itulah tujuan bertudung iaitu untuk mentaati perintah Allah SWT dan Rasul-Nya. Ketaatan adalah sumber kebahagiaan dan kejayaan terbesar di dunia dan akhirat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan barang sesiapa mentaati Allah dan Rasul-Nya, sesungguhnya ia mendapat kemenangan besar.” (Surah alAhzab: 71)
Namun, adakah kita benarbenar bertudung seperti yang diperintahkan Allah SWT? Persoalan itu sangat penting untuk dinilaikan kerana ia membabitkan dosa yang memberi kesan besar dalam kehidupan kita.
Antara syarat bertudung:
1. Hendaklah menutup seluruh tubuh dan tidak menampakkan anggota selain yang dikecualikan. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan katakanlah kepada wanita-wanita Mukminat, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan janganlah menampakkan perhiasan mereka kecuali yang biasa nampak dan hendaklah mereka menutupkan kain kerudung ke dada mereka.” (Surah an-Nuur: 31)
Dalam Islam, wanita wajib menutup aurat dan salah satunya perlu menutup kepala sehingga tidak menampakkan dada mereka.
Tetapi ramai wanita memakai pakaian ketat dan bertudung pendek. Ia jelas bertentangan dengan perintah agama.
Jika baju tidak ketat, contohnya memakai jubah yang lebar maka memadai dengan tudung biasa. Yang penting, tidak kelihatan anggota yang wajib ditutup.
2. Tidak menarik perhatian pandangan kaum lelaki bukan mahram sehingga mendatangkan fitnah. Tudung yang dipakai mesti tidak jarang, tidak ketat, tidak melekap dan tidak singkat .
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan janganlah kamu berhias dan bertingkah laku seperti orang-orang jahiliah yang dahulu.” (Surah al-Ahzab: 33)
Kata Mujahid Maqotil bin Hayan, maksud berhias diri adalah seseorang memakai khimar (tudung) di kepalanya namun tidak menutupinya dengan sempurna.
Dari situ terlihatlah subang, rantai dan lehernya. Itulah yang disebut tabarruj (berhias diri) ala jahiliah seperti mana disebut dalam tafsir al-Quran karya Ibnu Katsir.
Segala peraturan yang ditetapkan dalam Islam bukan untuk mengongkong, tetapi membebaskan wanita daripada penjara keterbukaan tanpa had serta menjadikan wanita itu mahal dan dihargai.
Wanita yang memperlihatkan aurat dan keindahan tubuh serta kecantikan parasnya, laksana pengemis yang merengek-rengek untuk dikasihani.
Tanpa sedar, mereka rela dihina dan menjadi mangsa kaum lelaki. Ingatlah tudung adalah lambang kehormatan dan kepatuhan seorang hamba kepada perintah Tuhannya.
Untuk mengekalkan kemuliaan itu, terpulang kepada diri wanita itu sendiri. Setiap wanita perlu memperbaiki diri dengan mengikuti perintah mengenakan hijab berlandaskan syariat.
Mudah-mudahan itu menjadi proses untuk menjadi Muslimah sebenar yang mendapat kebahagiaan di dunia akhirat.
Pandanglah dengan rahmah ubahlah dengan berhikmah