RASHFORD JULANG UNITED
Dua gol sensasi Red Devils pastikan
Reds putih mata di Old Trafford
Manchester, England
Marcus Rashford meledak dua gol dalam 25 minit pertama untuk membantu Manchester United menewaskan Liverpool 2-1 pada aksi Liga Perdana Inggeris di Old Trafford, malam tadi.
Kemenangan itu menyaksikan skuad kendalian Jose Mourinho melebarkan kelebihan kepada lima mata daripada Liverpool, sekali gus kekal di kedudukan kedua.
United bagaimanapun masih ketinggalan 13 mata di belakang pendahulu liga, Manchester City, namun apa yang lebih penting adalah kedudukan Red Devils dalam kelompok empat teratas semakin terjamin selepas 12 mata meninggalkan Chelsea di tangga kelima.
Liverpool yang lebih menguasai bola sejak awal permainan dikejutkan dengan dua jaringan Rashford selepas Romelu Lukaku dikawal ketat Dejan Lovren.
Anak buah Juergen Klopp yang meneruskan penguasaan pada babak kedua bagaimanapun hanya dapat merapatkan jurang gol hasil jaringan sendiri Eric Bailly ketika perlawanan berbaki 24 minit. Kekalahan kedua dalam 21 perlawanan Liga Perdana Inggeris itu meninggalkan Liverpool di kedudukan ketiga, tetapi mereka boleh jatuh ke tangga keempat jika Tottenham menang di Bournemouth, malam ini.
Rashford mungkin tidak berada dalam barisan kesebelasan utama jika bukan kerana kecederaan yang dialami Paul Pogba ketika sesi latihan, kelmarin.
Tanpa bintang Perancis bernilai £89 juta (RM482 juta) itu, Mourinho meletakkan Alexis Sanchez di belakang Lukaku dan Rashford memulakan tugas pertamanya dalam kesebelasan utama musim ini di bahagian kiri.
“Jika orang fikir kami tidak berhak (menang), saya tidak peduli,” kata Mourinho. “Saya penat, kami mempunyai perlawanan pada Selasa, saya tidak peduli apa yang orang kata, pemain gembira, saya gembira.
“Kami boleh bahagikan kepada dua, United (menang) babak pertama dan Liverpool kedua. Tapi pada pendapat saya, separuh masa pertama adalah sangat sengit.
“Pada babak kedua, pada pandangan saya, dan mungkin pengulas di studio mempunyai pendapat yang berbeza. Liverpool mengawal bola dan United mengawal tanpa bola.”