Lalui pengalaman mistik
Selebriti berkaki jenjang, Kelly Tandiono bukanlah nama asing dalam industri seni Indonesia. Wanita seksi itu kini bergelar model antarabangsa.
Bahkan, dia yang berusia 32 tahun juga pernah menjadi mentor dan juri
Asia Next Top Model musim keempat. Kredibilitinya dalam bidang peragaan tidak dapat disangkal lagi.
Turut menceburi dunia seni lakon, Kelly bakal muncul dengan filem Rumah Belanda. Kali pertama membintangi filem seram, dia melalui banyak pengalaman yang sukar dilupakan.
Kata Kelly, menjalani penggambaran di bangunan lama di Subang, Jawa Barat mengundang banyak kejadian aneh dan mencemaskan apabila diganggu makhluk halus.
“Kami jalani penggambaran di rumah peninggalan Belanda. Menurut penduduk sekitar, bangunan itu memang ‘keras’.
“Ada babak dalam filem memaparkan kejadian yang pernah berlaku di kediaman itu.
“Ketika penggambaran, buku-buku yang tersusun rapi tiba-tiba jatuh tanpa sebab. Disebabkan perkara itu, penggambaran terpaksa dihentikan buat sementara waktu.
“Kami juga ambil masa lama untuk selesaikan setiap babak di rumah itu. Saya sudah hafal dialog dan berlakon seperti yang dikehendaki pengarah tetapi ada saja kesilapan teknikal berlaku,” katanya.
Kelly mengakui, menjayakan karya seram guna banyak tenaga berbanding genre aksi. Malah, dia terpaksa menahan takut sepanjang penggambaran.
Ditanya antara kisah seram dan aksi mana satu pilihannya, Kelly pantas menjawab dia sanggup menggunakan seluruh tenaganya untuk babak bertarung.
“Berlakon filem seram sangat memenatkan. Rasanya filem aksi pun tidak sepenat itu.
“Bayangkan, pengarah tiba-tiba menghentikan lakonan ketika rasa takut saya sedang memuncak. Saya harus kekalkan momentum itu apabila penggambaran disambung semula. Ia tidak mudah,” katanya.
Menerusi filem itu, Kelly memegang watak sebagai penulis bernama Raya.
Dia diminta oleh Hilda untuk menulis biografi di rumah yang menerapkan hiasan gaya Belanda.
Beralih sisi peribadinya, Kelly selesa merahsiakan identiti jejaka yang berjaya mencuri hatinya.
Walaupun sudah dilamar tahun lalu, dia belum ada perancangan untuk mendirikan rumah tangga.
“Saya dan dia tidak mahu terburu-buru berkahwin. Walaupun saya sudah bersetuju dengan lamarannya, itu bukan alasan untuk kami mempercepatkan tarikh pernikahan,” katanya.