Kembalikan keremajaan vagina
Status sosioekonomi dan kesihatan, kesedaran peningkatan kualiti kesihatan dan prestasi diri masyarakat kita kini mula meningkat. Ini termasuklah prestasi di bilik tidur.
Kala kesihatan, kecantikan dan keintiman saling berhubung, permintaan untuk rawatan sindrom relaksasi vagina bagi prestasi seksual dan penampilan estetika juga meningkat.
Sindrom relaksasi vagina (VRS), juga sering disebut vagina longgar boleh menjadi gangguan pada sesetengah wanita yang mementingkan kualiti dan prestasi hubungan seks. Selain kepuasan seksual, VRS boleh menjadi penyumbang kepada masalah kesihatan tertentu seperti kencing tidak terkawal dan jangkitan vagina yang berulang dalam kalangan wanita berumur akibat proses kehamilan dan kelahiran bayi berulang kali serta kekurangan hormon estrogen selepas menopaus.
KESAN KELAHIRAN BERULANG PADA FUNGSI SEKSUAL
Faraj wanita mengalami pengubahsuaian fisiologi dengan berlalunya masa terutama selepas bersalin berulang kali. Perubahan struktur dalam mukosa vagina dan tisu penghubung berlaku kerana regangan berlebihan oleh bayi yang melalui saluran kelahiran.
Ditambah lagi dengan penggunaan alat instrumentasi seperti forsep ketika bersalin, saiz bayi yang besar, komplikasi kelahiran berkait rapat dengan kekoyakan dinding vagina dan perineum yang lebih besar.
Ketegangan kulit vagina yang keterlaluan ketika proses kelahiran sering mengakibatkan luka dalam pada tisu vagina. Oleh kerana ia kaya dengan bekalan darah, vagina dan perineum pulih dengan baik tanpa parut yang ketara tetapi jika pembaikan itu tidak optimum.
Selepas melahirkan bayi berulang kali, dinding vagina menjadi kendur dan pembukaan vagina mungkin herot akibat parut pada dasar dan penampilan keseluruhan organ ini mungkin berubah secara kekal.
Regangan tisu vagina yang berlebihan ketika proses kelahiran bayi menyebabkan serat kolagen terputus dan koyak secara kekal di bawah lapisan mukosa di sekeliling faraj dan salur kencing (uretra). Akibatnya vagina menjadi longgar, kendur dan luas serta lipatan semula jadi di permukaan mukosa hilang. Dalam jangka panjang ia boleh membawa kepada pengurangan prestasi dan kepuasan seksual oleh wanita dan pasangan selain masalah pengawalan pundi kencing yang tidak ketat.
MENOPAUS DAN PRESTASI SEKSUAL
Selepas menopaus, pengalaman seksual wanita sering dipengaruhi oleh kekeringan faraj akibat hormon estrogen menyusut. Kemerosotan pengeluaran estrogen sewaktu menopaus sering disertai dengan penipisan mukosa faraj dan keanjalan.
Proses atrofi faraj bermula bila mukosa vagina menjadi pucat dan permukaan menjadi rata serta tidak bermaya akibat kehilangan lipatan semula jadinya. Atrofi faraj yang juga kehilangan pelincir semula jadi, menyebabkan permukaan itu kering selain kekurangan keanjalan menyebabkan hubungan seks sangat sukar. Ia juga mengundang masalah jangkitan vagina dan vaginitis yang berulang.
RAWATAN
Ada pelbagai pilihan rawatan sindrom vagina longgar, dan ia merangkumi pendekatan tidak invasif dan invasif.
Untuk pendekatan tidak invasif, senaman Kegel dapat mengetatkan otot yang santai di lantai perineum. Senaman ini digalakkan selepas bersalin dan juga sebagai senaman rutin bagi wanita yang kerap bersalin bagi menguatkan otot perineum, masalah rahim jatuh dan masalah kencing tidak lawas. Terdapat juga pendekatan farmakologi di pasaran dengan menggunakan krim hormon estrogen, bagaimanapun keberkesanannya terhad dan bersifat sementara.
Pendekatan invasif pula membabitkan pembedahan yang dipanggil posterior colporhaphy. Menerusi prosedur ini tisu vagina di bahagian belakang yang berlebihan dan kendur dibuang dan dinding vagina dibaiki semula. Ia boleh menawarkan hasil yang lebih baik dan tahan lama.
Hasil pembedahan harus seimbang dengan risiko pembedahan yang dilakukan pada tisu vagina yang sangat sensitif. Masa pemulihan juga lebih lama selain wujud kemungkinan komplikasi berkaitan dengan pembentukan
parut atau kerosakan saraf sehingga mengakibatkan kehilangan rasa sensitif di kawasan ‘G-Spot’ sekali gus mengurangkan keseronokan seksual.
PENGETATAN VAGINA GUNA GELOMBANG LASER
Baru-baru ini rawatan pancaran laser antara rawatan ditawarkan untuk VRS kerana ketepatan dan keupayaan meminimumkan kerosakan pada tisu disebabkan sifat penyerapan air yang cemerlang terutamanya laser Erbium YAG (2940nm) dan CO2 (5500nm).
Tisu mukosa vagina mempunyai kandungan air yang tinggi menjadikannya sasaran ideal dan selamat untuk rawatan gelombang laser. Dengan pancaran laser pembentukan semula kolagen pada tisu mukosa vagina meningkat akibat kesan laser fototermal. Ia berperanan mengembalikan keremajaan vagina menerusi regenerasi kolagen turut membantu menganjalkan dinding saluran vagina.
Rawatan pancaran gelombang laser Erbium-YAG memberi kesan fototermal yang mendalam dan terkawal. Ia menggalakkan pembentukan semula kolagen, mendorong penguncupan elastin, menghidupkan semula tisu dan meningkatkan keanjalan serta membina semula lipatan semula jadi vagina.
Kesan fototermal tertumpu pada bahagian hadapan (anterior) vagina, mengakibatkan pengecutan fasia endopelvik, ligamen dan tisu mukosa vagina yang mendasari pundi kencing dan uretra.
Kajian yang banyak dijalankan di Korea menunjukkan kaedah ini memberikan kelegaan kepada wanita yang mengalami masalah kurang kawalan kencing ringan.
BILAKAH ANDA MEMERLUKAN LASER VAGINA 3600?
Ramai wanita menyedari masalah vagina longgar mengganggu prestasi seksual mereka. Mereka boleh menjalani rawatan apabila mengalami tanda berikut;
Kurang teruja dan terangsang ketika hubungan seksual
Mengalami sindrom vagina longgar
Pembukaan vagina ternganga
Vagina menghasilkan bunyi ‘seperti gas’ ketika bersetubuh atau bunyi seperti orang berjalan
Labia yang berpigmentasi Masalah kekeringan faraj dan kurang kelembapan, atau sakit ketika bersetubuh
Kerap berlaku keradangan, gatal-gatal dan panas terbakar
Masalah kurang kawalan air kencing terutamanya apabila batuk, bersin, atau ketawa.