PARLIMEN BUBAR MAC?
Susulan pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya diawalkan
Pembentangan usul persempadanan semula kawasan pilihan raya yang dijadualkan 29 Mac ini diawalkan sekali gus memungkinkan Parlimen dibubarkan akhir Mac atau awal April bagi membolehkan pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) diadakan.
Sumber berkata, Usul Draf Perintah Perlembagaan dan Laporan Kajian Semula Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Parlimen dan Negeri itu dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat seawal 19 Mac ini atau selewat-lewatnya 26 Mac.
Ia dilakukan sebaik selepas berakhirnya perbahasan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V yang berlangsung di Dewan Rakyat sekarang selesai.
Menurut sumber itu lagi, usul berkenaan mulanya dijadualkan untuk dibentang pada 29 Mac, tetapi diawalkan sebagai persiapan menghadapi PRU-14.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membentangkan usul itu untuk bacaan kali pertama.
Sementara itu, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, usul berkenaan perlu dibahas dan diluluskan dengan undian majoriti mudah iaitu lebih separuh daripada 222 Ahli Parlimen.
“Setelah diluluskan di Dewan Rakyat, Draf Perintah ini tidak melalui Dewan Negara dan Perdana Menteri membawanya terus kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan Baginda,” katanya.
Mengikut Perlembagaan Persekutuan, usul persempadanan semula kawasan pilihan raya itu memerlukan majoriti mudah untuk diluluskan kerana tidak membabitkan tambahan jumlah kerusi.
Jika membabitkan tambahan jumlah kerusi Parlimen, maka Dewan Rakyat perlu meminda Perkara 46 dalam Perlembagaan Persekutuan, untuk majoriti dua pertiga.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Mohd Hashim Abdullah pula menjelaskan tiada tempoh ditetapkan Perlembagaan Persekutuan untuk mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Katanya, persempadanan semula bahagian pilihan raya berkuat kuasa selepas perkenan dan ditandatangani Yang di-Pertuan Agong.
“Ia dikuat kuasa pada tarikh Seri Paduka Baginda bersetuju dan (terus) diwartakan,” katanya.
Mengenai PRU-14, beliau berkata, SPR kini dalam peringkat akhir persiapan dan bersedia sepenuhnya untuk mengendalikan pilihan raya pada bila-bila masa.
Satu lagi sumber memberitahu, sebaik mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, sempadan bahagian pilihan raya baru berkuat kuasa apabila Dewan dibubarkan pada atau selepas tarikh kuat kuasa Perintah Persempadanan ditandatangani Yang di-Pertuan Agong.