Harian Metro

Kehilangan dua beradik bukan kes jenayah

-

Petaling Jaya: Tanda tanya terhadap nasib dua beradik yang dilarikan dari sebuah tadika di Seksyen 16 di sini, Khamis lalu, masih belum terjawab biarpun sudah memasuki hari keempat kejadian.

Keluarga kanak-kanak yang hilang, Aleeya Reyhana Mohd Saleem, empat tahun, dan Raheel Khan Mohd Saleem, enam tahun, nyata kecewa apabila kes disiasat polis itu masih belum menunjukka­n perkembang­an positif.

Ibu saudara kepada mangsa, Najmah Mohd Haslam, 42, berkata, sejak hari pertama kejadian, tiada anggota polis yang menghubung­i atau berjumpa mereka bagi memaklumka­n perkembang­an kes.

“Setiap kali bertanya kepada pegawai penyiasat, dia hanya menjawab kes masih dalam siasatan.

“Polis boleh memanggil pihak tadika untuk mengambil keterangan dan mungkin juga untuk mengesahka­n siapa individu dalam rakaman CCTV. Namun mereka tidak menghubung­i kami untuk menunjukka­n atau mengesahka­n suspek sama ada dia ibu kandung kepada dua anak saudara saya,” katanya ketika ditemui di kediamanny­a di Seksyen 16 di sini, petang semalam.

Dia berkata, meskipun polis sudah mengesahka­n kanak-kanak itu dilarikan ibu kandung mereka namun mereka gusar berikutan kanak-kanak itu pernah didera secara mental dan fizikal ketika tinggal bersama ibu mereka setahun lalu.

“Lebih membimbang­kan, ibu kandung kepada kanak-kanak itu tinggal sebumbung bersama teman lelaki tanpa sebarang ikatan sah sekali gus menimbulka­n isu moral kepada dua beradik itu yang beragama Islam. Malah, ibu kandung mereka akan meninggalk­an dua beradik itu bersama teman lelakinya ketika dia keluar bekerja.

“Dua beradik itu pernah tinggal bersama ibu kandung mereka sebelum dijaga keluargany­a kira-kira setahun lalu,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 9 pagi Khamis lalu, dua beradik terbabit dikatakan dilarikan oleh tiga individu tidak dikenali termasuk seorang wanita ketika berada di tadika di Seksyen 16, Petaling Jaya.

Kehilangan mereka disedari ketika ibu saudaranya pergi ke tadika terbabit untuk menjemput adik-beradik itu pulang, namun dimaklumka­n oleh guru bahawa mereka diambil oleh seorang wanita didakwa ibu kandung kanak-kanak berkenaan untuk pemeriksaa­n kesihatan.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat mengesahka­n dua beradik yang didakwa diculik itu sebenarnya diambil oleh ibu kandung mereka.

Beliau memberitah­u tiada unsur jenayah dalam kes berkenaan hasil siasatan dilakukan polis.

 ??  ?? LAPORAN Harian Metro, kelmarin.
LAPORAN Harian Metro, kelmarin.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia