Harian Metro

Tangisan lepas azan Subuh

- Ifwan Tun Tuah ifwan@nstp.com.my

 Seorang bayi lelaki masih bertali pusat ditemui di ruang solat wanita Surau Al-Ibrahim

Tangisan yang kedengaran sebaik selesai azan Subuh di Surau al-Ibrahim, Garden Homes Fasa E, Seremban 2 di sini, pagi semalam membawa kepada penemuan seorang bayi lelaki bertali pusat yang ditinggalk­an di ruang solat Muslimah.

Bayi dibungkus dengan kain putih dan diselimut dengan sejadah itu dipercayai ditinggalk­an di situ beberapa ketika sebelum kehadiran jemaah untuk menunaikan solat Subuh.

Pengerusi surau Bakri Ab Rahman berkata, seorang jemaah lelaki terdengar tangisan di belakang surau selepas azan selesai berkumanda­ng sebelum bangun dan membuat pemeriksaa­n bagi mencari punca bunyi berkenaan.

“Dia terkejut menemui bayi berkenaan terbaring seorang diri di tepi dinding di ruang solat wanita dan segera memberitah­u jemaah lain sebelum mereka menghubung­i polis dan ambulans.

“Kita percaya bayi itu ditinggalk­an sebelum ketibaan jemaah. Jemaah paling awal tiba hari ini memberitah­u pintu surau sudah terbuka ketika dia sampai, bagaimanap­un dia tidak menyedari ada sesuatu di ruang solat wanita yang gelap dan terlindung dengan langsir,” katanya.

Sementara itu, penduduk kawasan berkenaan, Haslina Hussain, 54, berkata, seorang jemaah wanita yang tinggal berhampira­n sempat pulang ke rumahnya membancuh susu bagi diberikan kepada bayi berkenaan yang kelaparan.

“Sementara pasukan perubatan membuat pemeriksaa­n terhadap bayi itu, seorang jemaah wanita membawa sebotol susu untuk menenangka­nnya,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Superinten­dan Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, tiada tanda pengenalan atau nota ditinggalk­an bersama bayi seberat 2.7 kilogram itu yang dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar di sini untuk rawatan lanjut.

“Bayi berkenaan diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana membuang bayi,” katanya.

 ??  ?? BAYI yang ditemui di ruang solat wanita di Surau Al-Ibrahim, Garden Homes Fasa E, Seremban 2.
BAYI yang ditemui di ruang solat wanita di Surau Al-Ibrahim, Garden Homes Fasa E, Seremban 2.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia