Harian Metro

Kelentong pelepasan kastam RM13,200

- Faris Fuad cnews@nstp.com.my

 Sindiket ‘parcel scam’ didalangi warga Nigeria, Filipina tumpas di pangsapuri

Satu sindiket atau penipuan kiriman bungkusan didalangi tiga lelaki warga Nigeria dan seorang wanita Filipina tumpas apabila diserbu polis di pangsapuri Desa Aman Puri, Gombak di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Ali Ahmad berkata, semua suspek berusia antara 30 hingga 34 tahun itu ditahan apabila dipercayai terbabit kes penipuan membabitka­n kerugian RM13,200 sejak beroperasi November tahun lalu.

Katanya, polis turut merampas tujuh kad debit, lapan telefon bimbit dan lima komputer riba sebagai bahan bukti siasatan.

“Kami menahan empat suspek terbabit selepas mendapat maklumat daripada seorang wanita yang membuat aduan ‘terjerat’ dalam sindiket

menerusi Facebook seorang lelaki yang mendakwa berasal dari Liverpool, United Kingdom (UK).

“Wanita itu dipujuk supaya memasukkan wang ‘pelepasan’ Jabatan Kastam Diraja Malaysia berjumlah RM13,200 ke dalam akaun lelaki berkenaan berikutan suspek mendakwa bungkusan yang dikirim kepada mangsa disekat kastam.

“Susulan itu, wanita berkenaan yang berasa ditipu membuat laporan polis. Terdahulu, suspek memberikan alamat kepada mangsa jika ada masalah berkaitan, di lokasi itu (alamat diberikan suspek kepada mangsa) polis melakukan serbuan,” katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak, di sini, semalam.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama jam 12.30 tengah malam, polis menahan seorang lelaki dan seorang wanita masing-masing warga Nigeria dan Filipina.

Katanya, serbuan kedua di pangsapuri sama sejam kemudian, polis menahan dua lagi lelaki warga Nigeria.

“Susulan serbuan itu, polis mendapat tahu seorang lelaki warga Nigeria ditemui mati di tingkat bawah pangsapuri berkenaan, hasil maklumat pengawal keselamata­n kami dapati dia menetap bersama dua warga Nigeria terbabit.

“Punca kejadian sama ada dia terjatuh atau terjun dari tingkat 13 pangsapuri selepas mendapat tahu serbuan polis belum dipastikan. Siasatan berkaitan kes dijalankan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ali berkata tiga suspek yang menjalanka­n kegiatan itu di negara ini menggunaka­n pas pelajar manakala seorang lagi menggunaka­n pas lawatan sosial.

“Suspek direman bermula semalam (kelmarin) hingga 24 Mac depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 424 Kanun Keseksaan,” katanya.

Newspapers in Malay

Newspapers from Malaysia